Kerajaan akan mengenakan harga siling ke atas penjualan suntikan dos penggalak Sinovac di pasaran swasta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Katanya, harga akan diumumkan minggu hadapan.
“Suntikan dos penggalak akan disediakan secara percuma menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), tapi kita juga adakan penjualan persendirian terutamanya untuk Sinovac yang telah diluluskan sebagai dos penggalak di klinik swasta.
"Kabinet telah memutuskan untuk mengawal harga jualan suntikan penggalak di pasaran swasta.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Kesihatan (KPDNHEP) akan mengenakan harga siling ke atas vaksin itu. Kami akan umumkan harga siling minggu depan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan petang tadi.
Pada 17 Nov, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah mengeluarkan kelulusan bersyarat untuk Sinovac diberi sebagai suntikan penggalak.
Selepas itu, syarikat farmaseutikal berkaitan kerajaan Pharmaniaga Bhd mengumumkan bahawa ia akan membekalkan dos penggalak Sinovac kepada hospital dan klinik swasta terpilih.
Kerajaan kini menawarkan suntikan penggalak percuma melalui Pick.
Mereka yang sebelum ini divaksin dengan vaksin Johnson & Johnson disyorkan untuk menerima dos penggalak dua bulan selepas itu.
Mereka yang sebelum ini divaksin dengan vaksin Sinovac atau Sinopharm disyorkan untuk menerima dos penggalak tiga bulan selepas itu.
Mereka yang sebelum ini divaksin dengan vaksin Pfizer, AstraZeneca, Moderna, atau CanSino disyorkan untuk menerima penggalak enam bulan selepas itu.