malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warga emas didakwa bersetubuh dengan kambing
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 8:53 AM
Dikemaskini: 9:05 AM

Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

Shaari Hasan, 60, didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang pada 1.30 tengah hari, 27 Julai lalu, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Shaari, yang memakai baju kemeja bercorak flora mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Bagaimanapun, ketika ditunjukkan barang kes iaitu pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, lelaki itu tidak mengakui kedua-dua pakaian berkenaan adalah miliknya.

Nurul Mardhiah kemudian bertanya kepada tertuduh: “Adakah baju dan seluar itu milik kamu?” dan tertuduh, yang merupakan seorang duda menjawab, "Bukan”.

Nurul Mardhiah berkata pengakuan salah tertuduh tidak boleh diterima memandangkan dia tidak mengakui barang kes tersebut dan meminta pertuduhan terhadap lelaki itu dibacakan sekali lagi dan tertuduh mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu adalah serius, namun peguam Zolazrai Zolkapli yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya tinggal seorang diri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

Menurut polis, wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing milik wanita tersebut.

Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati.

- Bernama

Lihat Komen