malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyandang kerusi DUN Mulu taruhan GPS dalam PRN Sarawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan kepercayaan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, Gerawat Gala untuk mempertahankan kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata GPS mempunyai perancangan untuk meningkatkan aktiviti sosioekonomi di Mulu yang merupakan kawasan DUN di bawah Parlimen Baram dan Gerawat telah menjalin kerjasama yang baik dengan Ahli Parlimen kawasan itu, Anyi Ngau.

“Dengan adanya kerjasama antara Datuk Gerawat dengan Tuan Anyi, saya yakin kawasan Baram menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) akan kita bangunkan dengan tersusun termasuklah kawasan Mulu yang sudah dinaik taraf sebagai daerah kecil,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pusat Khidmat Mulu di Mulu, Sarawak, hari ini.

Abang Johari berkata jika terus diberikan kepercayaan menerajui pentadbiran Sarawak, GPS merancang untuk membina jalan raya bagi menghubungkan beberapa penempatan di Mulu dengan bandaraya Miri dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata berdasarkan perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan raya itu membolehkan perjalanan darat antara bandaraya Miri dan penempatan berdekatan Mulu mengambil masa satu jam 40 minit.

Menurutnya pada masa ini faktor cuaca banyak mempengaruhi tempoh perjalanan antara Miri dan Mulu yang ketika ini paling cepat hanya dapat dihubungi menggunakan pengangkutan udara.

“Kita akan bukakan kawasan Baram ini dari Miri ke Marudi dan dari Marudi ke Long Terawan. Dari Long Terawan nanti kita akan (buat jalan raya) ke Long Iman. Anda bayangkan dapat memandu kereta dari bandaraya Miri ke Long Terawan,” katanya.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen