malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Perkhidmatan 5G di bawah model DNB dijangka lebih murah berbanding 4G'

Harga atau caj perkhidmatan 5G kepada rakyat pada masa hadapan dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G sekarang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata mengimbau kembali usaha sektor swasta dalam membangunkan kapasiti 5G negara, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan disebabkan perbezaan kepentingan dalam kalangan operator rangkaian mudah alih.

Memandangkan pentingnya keterhubungan dan ekonomi digital buat negara, kerajaan telah mengambil tindakan tegas pada Februari 2021 dengan mengumumkan inisiatif MyDigital dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, katanya.

“Antara tindakan utama yang diambil di bawah MyDigital adalah penubuhan sebuah syarikat tujuan khas yang dinamakan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk melaksanakan 5G dengan lebih pantas dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia, berasaskan model pemulihan kos,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dia berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai dakwaan bahawa syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk menggunakan 5G kerana harga ditawarkan oleh DNB, yang dilihat beroperasi sebagai monopoli, adalah terlalu tinggi.

Tengku Zafrul berkata harga yang dicadangkan dikenakan buat masa ini kepada syarikat telekomunikasi adalah kurang daripada 20 sen per GB 5G, namun ia masih diperhalusi, dan sedang menunggu kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Dari segi implikasi kewangan, syarikat telekomunikasi mungkin lebih mengutamakan pelaksanaan 5G yang tidak terbuka kepada semua pengendali rangkaian mudah alih untuk mengekalkan kedudukan keuntungan mereka, katanya.

“Sebaliknya model yang diguna pakai oleh DNB akan mendorong syarikat telekomunikasi bersaing dari segi harga, produk dan perkhidmatan, kerana mereka telah jimat dari segi modal penyediaan infrastruktur yang telah pun disediakan oleh DNB,” katanya.

Tengku Zafrul juga menyangkal keraguan mengenai kecekapan sektor swasta dalam melaksanakan dan menyediakan perkhidmatan membina rangkaian 5G.

“Jika kita mengimbau semula sejarah pembangunan negara, kita dapat melihat banyak syarikat yang dimiliki oleh kerajaan yang telah berjaya meletakkan Malaysia di persada dunia,” katanya.

Dia berkata contohnya, syarikat seperti Petronas, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd yang telah berjaya berkembang di dalam dan di luar negara.

Tengku Zafrul menekankan bahawa DNB juga berpeluang dan berpotensi untuk mengecapi kejayaan seperti syarikat milik kerajaan lain yang memiliki tahap keupayaan tinggi dan profesionalisme dalam melaksanakan setiap pelan dan strategi.

“DNB telah ditubuhkan dengan teliti, dan dianggotai oleh pakar yang paling berpengalaman dalam industri telekomunikasi. Kebolehan kerajaan melalui DNB perlu diberi peluang, kerana suatu hari nanti, kita akan dapat membuktikan bahawa andaian mereka adalah kurang tepat, dan Malaysia boleh berjaya dalam melaksanakan model ini untuk 5G,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan rangkaian 5G dijangka menjana RM21 bilion dalam aktiviti ekonomi secara langsung untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Peserta industri semasa pula akan memperoleh keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan, katanya.

“Dalam situasi ini, tidak ada kebimbangan bahawa pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB akan memberi kesan ke atas pelaburan atau pemain industri sedia ada kerana komitmen DNB adalah untuk bergandingan, bukan bersaing dengan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selain itu, pelaksanaan 5G dijangka menyokong sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian tersebut, dan penciptaan kira-kira 148,000 pekerjaan dalam ekonomi secara keseluruhannya, selain mendorong peralihan ekonomi bagi pekerja berkemahiran tinggi.

“Walaupun DNB hanya ditubuhkan pada Februari tahun ini, saya yakin ia akan berjaya memastikan ketersediaan 5G kelak,” katanya.

Dia berkata Malaysia masih ketinggalan kerana belum melancarkan rangkaian 5G sendiri jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina yang telah melancarkan rangkaian 5G seawal 2019.

-Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen