malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq berjaya pindah kes pecah amanah ke Mahkamah Tinggi

Permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar perbicaraan berhubung pertuduhan pecah amanah jenayah dan bersubahat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.12 juta dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dibenarkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini membenarkan permohonan yang dibuat bekas menteri belia dan sukan itu agar kes tersebut dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen.

"Saya yakin ada kemungkinan soalan di luar kebiasaan berkenaan undang-undang akan dibangkitkan, dan wajar untuk tujuan keadilan agar kes pemohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

"Maka permohonan dibenarkan," katanya dalam prosiding hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo mewakili Syed Saddiq manakala Wan Shaharuddin Wan Ladin sebagai timbalan pendakwa raya.

Pada 22 Julai lalu, Syed Saddiq yang juga bekas ketua pemuda Bersatu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalahgunakan dana parti itu bernilai RM1.12 juta.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan subahat terhadap pengubahan wang haram berjumlah RM100,000.

Mengikut dua pertuduhan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dia dituduh terlibat dalam pemindahan dana itu dua kali pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pada setiap kejadian di Maybank Islamic Berhad, Taman Perling di Johor Bahru, Syed Saddiq dituduh telah memindahkan RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera.

Pada 17 Julai 2021, SPRM menyoal siasat Syed Saddiq selama 11 jam susulan laporan yang dibuatnya berkenaan kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 di rumahnya.

Ketika itu, dia mendakwa sebahagian besar wang berkenaan disimpan bagi kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya.

[Baca berita asal]

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen