malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'AGC batalkan rayuan terhadap keputusan bebaskan Ku Nan'
Diterbitkan:  Nov 18, 2021 10:38 AM
Dikemaskini: 3:09 AM
ADS

Bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor kini boleh menarik nafas lega setelah kerajaan dilaporkan tidak akan meneruskan rayuan terhadap pembebasannya dalam kes rasuah sebelum ini.

Empat bulan lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyabitkan ahli parlimen Umno itu bersalah dalam kes rasuah berjumlah RM2 juta.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Semalam, The Edge dalam laporannya berkata ia telah "difahamkan dengan pasti" yang pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.

Adnan adalah ahli parlimen Putrajaya dan bendahari Umno.

Pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkan Tengku Adnan ketika menjadi menteri wilayah persekutuan bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu pada Julai lalu.

Pengerusi panel hakim Suraya Othman memutuskan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK).

Suraya berkata Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira kegagalan pihak pendakwaan untuk memeriksa semula Chai, yang merupakan saksi utama pendakwaan, bahawa wang RM2 juta itu adalah untuk sumbangan politik kepada Umno bagi dua pilihan raya pada 2016.

Sementara itu, seorang panel hakim yang menolak rayuan itu pula berkata Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam kes itu.

Dia juga menyifatkan langkah Tengku Adnan untuk bergantung kepada keterangan Chai, bahawa wang itu adalah sumbangan politik, sebagai "swadiri" (self-serving).

Dia juga berkata Tengku Adnan memberi keterangan bertentangan berkenaan dakwaan resit Umno untuk menunjukkan wang tersebut memang untuk sumbangan kepada parti itu.

Lihat Komen