malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenderaan rasmi Vellfire: Kos pajakan 'tak masuk akal' - Persatuan kereta sewa
ADS

Kos pajakan Toyota Vellfires baru kerajaan yang didedahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak munasabah, kata Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia Farouk Fernandez.

Katanya, perlu diambil perhatian kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta.

Jelasnya, kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai.

"Angka itu nampaknya tidak masuk akal dari segi kos pajakan bulanan kenderaan berdasarkan anggaran harga kenderaan itu," kata Fernandez kepada Malaysiakini melalui temu bual telefon hari ini.

Khamis lepas, Tengku Zafrul mempertahankan peralihan kenderaan rasmi kerajaan daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire dengan kos bulanan RM 5,759.35.

Katanya, kos sewa bulanan kenderaan baru lebih murah dan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM2 bagi setiap kenderaan selepas penukaran.

Bagaimanapun, Fernandez memetik contoh Toyota Camry yang dijual secara komersial, jenis kereta sedan yang berharga kira-kira RM 200,000, jauh lebih rendah daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Vellfire yang berharga sekitar RM 367,000.

"Pajakan tiga tahun ke atas Toyota Camry termasuk cukai jalan, insurans, penyelenggaraan dan penggantian, akan hampir RM5,000 sebulan," katanya.

Fernandez mengakui dia tidak tahu dengan tepat bagaimana kerajaan dapat mencapai kiraan kos pajakan RM5,759.35 tetapi mempersoalkan jika terdapat keperluan mendesak untuk menukar armada rasmi kerajaan sekarang.

“Angka itu boleh dibuat untuk dilihat bagaimana mereka (kerajaan) suka. Semuanya bergantung kepada bagaimana pengiraan dilakukan.

“Saya rasa perkara utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah ketika negara sedang mengalami kesusahan sebegini dan dana kerajaan sudah habis, kenapa perlu menukar kenderaan (rasmi) itu," soalnya lagi.

Apa keperluan tukar kenderaan k'jaan?

Ahli Parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Tzin turut berkongsi sentimen Fernandez.

Sim menyindir dengan mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas "pencapaian" untuk menjimatkan RM2 kepada pembayar cukai.

“Saya mencadangkan pencapaian ini perlu direkodkan dalam ‘pencapaian 100 hari pentadbiran baru’ yang akan dilaporkan kepada rakyat tidak lama lagi.

“Pasti rakyat akan berbangga dengan pencapaian menteri kewangan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Melalui soalan lisannya di Dewan Rakyat, Sim bertanya kepada menteri kewangan mengenai kos penyediaan Vellfire sebagai kereta rasmi untuk menteri sejak Mac 2020, dan kos bulanan pajakan kenderaan mewah itu daripada syarikat konsesi, Spanco.

Spanco ialah syarikat penyewaan kenderaan yang merupakan syarikat konsesi tunggal yang menyediakan kenderaan rasmi kerajaan dari 1994 hingga 2020.

Sim berkata kebanyakan menteri yang kini memegang jawatan dalam kabinet adalah mereka yang lantang menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan menukar kenderaan rasmi.

Kerajaan Pakatan Harapan menyelia proses tender untuk konsesi baru pada 2020 apabila kontrak tamat, dengan tujuh syarikat termasuk Spanco mengemukakan cadangan tender mereka.

Pun begitu, pentadbiran PH runtuh akibat Langkah Sheraton dan kerajaan baru yang diketuai oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak mendedahkan siapa pemenang bidaan akhirnya.

Sim berkata dengan pembukaan semula parlimen, dia menggesa Kementerian Kewangan menjelaskan isu tender syarikat konsesi.

"Berapa banyak syarikat yang menyertai proses tender? Apakah keperluan kerajaan yang memberi manfaat kepada dirinya sendiri,” soalnya.

Penjelasan itu, kata Sim penting supaya rakyat tahu sama ada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob benar-benar bekerja keras untuk menyelamatkan wang pembayar cukai atau tidak.

Lihat Komen