PAS berpendapat tindakan pihak tertentu mengaitkan pengeluaran wiski jenama Timah dengan mereka adalah langkah terdesak mereka untuk menyerang parti berkenaan.
“Sebenarnya ia bukanlah isu besar melainkan ia hanya tak ada modal lain hendak serang PAS,” kata timbalan presidennya, Tuah Ibrahim Tuan Man.
Menurut harakahdaily tuduhan berkenaan bertujuan untuk mencalar nama baik PAS saja kerana prinsip asas parti itu ialah menentang semua bentuk perbuatan mungkar.
Kata Tuan Ibrahim menentang kemungkaran juga bukanlah tanggungjawab PAS semata-mata sebaliknya seluruh umat Islam.
Justeru kata ahli parlimen Kubang Kerian itu lagi, lebih baik orang ramai mendidik masyarakat Islam menjauhi arak walau apa pun jenamanya.
Pada masa sama Tuan Ibrahim berkata hak dan kehendak bukan Islam untuk meminum arak juga perlu diambil kira.
Tuan Ibrahim juga berkata jenama dan logo wiski Timah itu memang boleh mengelirukan dan meminta agar ia disemak kembali.
"Nama Timah, bukan nama Islam dan bukan nama manusia. Ia seumpama nama jenis logam, dan lebih jelas pula apabila logo arak itu gambar seorang lelaki. Tiada lelaki nama Timah,” katanya.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad berkata, pihak terbabit sepatutnya mengelak daripada memberikan jenama minuman keras dengan nama yang bersifat provokasi atau menyebabkan kekeliruan.
"Arak itu tetap haram atas nama apa pun," katanya.
Idris yang juga naib presiden PAS menambah parti itu tidak bersetuju dengan pengeluaran arak lebih-lebih lagi menggunakan nama sebegitu.
Katanya PAS menyedari produk itu adalah untuk orang bukan Islam namun mempersoalkan motif di sebalik pemilihan nama berkenaan.
“Apa maksud dia letak nama tu? Adakah untuk wujud normalisasi baru, yang ni kita bimbang," katanya.
Idris ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.