malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin AMK: Mana senator PAS semasa kempen bendera putih?
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 4:40 PM
Dikemaskini: 9:32 AM
ADS

Di mana Senator PAS Mohd Apandi Mohamad ketika kadar bunuh diri di negara ini meningkat semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), soal Ketua Biro Wanita Pemuda PKR Terengganu, Yuslaini Azmi.

Ia selepas Mohd Apandi, yang juga bekas ahli Parlimen Jeli, mengaitkan drama Korea Selatan sebagai antara faktor berlakunya kes bunuh diri, khususnya di kalangan remaja.

"Saya hairan sekali bagaimana senator tersebut boleh begitu khayal dengan alam fantasi ciptaan beliau. Di mana suara beliau ketika ada rakyat membunuh diri akibat tidak cukup makan, minum ketika kempen bendera putih dilakukan beberapa bulan lepas?

"Mana suara beliau ketika rakyat kebuluran, hilang pekerjaan dan hilang tempat bergantung? Tidakkah beliau mengikut rapat tentang fenomena kesihatan mental di seluruh dunia yang terjejas teruk akibat PKP lebih dari setahun ini?" soal Yuslaini dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Apandi sebelum ini dikecam selepas mencadangkan drama Korea Selatan mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong orang ramai - khususnya remaja - membunuh diri.

Yuslaini Azmi

Membangkitkan isu itu di Dewan Negara pada 13 Oktober lalu, dia mendakwa banyak drama dari Korea Selatan menggambarkan elemen bunuh diri sebagai pilihan apabila seseorang itu gagal dalam hidup.

Kenyataan itu selepas Senator Fadhlina Sidek memohon campur tangan segera dalam isu krisis kesihatan mental yang dihadapi negara ini.

Sebagai respons, Fadhlina berkata dia setuju dengan pandangan drama Korea memang mengandungi elemen yang menyebabkan golongan remaja bawah umur terdorong untuk membunuh diri.

Namun, katanya, terdapat beberapa faktor lain yang boleh mencetuskan perilaku sebegitu termasuk peranan media.

Susulan kecaman yang diterima, Mohd Apandi berkata dia tidak membuat dakwaan itu secara 'pukul rata' terhadap semua drama dan filem Korea Selatan.

Mengakui masih ada banyak faktor lain, dia bagaimanapun mempertahankan pendapatnya bahawa terdapat beberapa drama atau filem dari negara itu yang mampu menjadi faktor kepada kes bunuh diri memandangkan ia popular terutama dalam kalangan remaja.

“Saya khuatir mereka (remaja) terbawa-bawa dengan elemen negatif. Saya bukan kata drama atau filem Korea ini menjadi pencetus, tetapi cuma sebahagiannya saja kerana ada lagi faktor lain yang membawa kepada tindakan bunuh diri.

“Oleh kerana filem atau drama itu popular ia boleh mempengaruhi, lebih-lebih lagi apabila ia adalah drama bersiri, ada yang sampai terbawa-bawa,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today pada 14 Oktober lalu.

'Selesaikan masalah, bukan cari salah siapa'

Mengulas lanjut, Yuslaini berkata amat mengecewakan apabila Mohd Apandi berhujah tanpa kajian dan bukti saintifik.

Kata Yuslaini, sikap penggubal dasar yang menurutnya berhujah tanpa menggunakan akal adalah memalukan.

“Saya berharap mana-mana ahli politik, menteri, senator dan mana-mana penggubal dasar negara berhentilah memperbodohkan diri sendiri di hadapan rakyat.

"Anda dipilih menjadi wakil rakyat, menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat kita hari ini bukan mencari salah sesiapa.

"Jika begini tahap prestasinya, lebih baik berundur sahaja dari dunia politik kerana anda sememangnya tidak layak," kata Yuslaini.

Kenyataan Mohd Apandi berhubung perkara itu turut mengundang perhatian warganet dengan kebanyakannya meminta dia mengemukakan data dan bukti penyelidikan bagi menyokong dakwaannya itu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, melalui Twitter menyifatkannya sebagai tidak sensitif manakala Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim bertanya drama Korea Selatan mana yang ditonton Mohd Apandi.

Untuk rekod, sehingga Julai lalu Korea Selatan menduduki tangga teratas kedudukan kes bunuh diri dalam kalangan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Lihat Komen