malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng sedia jadi saksi jika syarikat penghantar barang mahu ke mahkamah
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM
ADS

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng sanggup menjadi saksi di mahkamah jika ada tindakan undang-undang diambil untuk menghalang penjualan saham dan pegangan oleh syarikat penghantaran barang bagi mematuhi peraturan ekuiti bumiputera sebanyak 51 peratus.

Kata ahli parlimen Bagan itu, sebarang usaha oleh kerajaan sekarang untuk membatalkan keputusan dibuat Pakatan Harapan (PH) pada 24 Oktober 2018 boleh dicabar di mahkamah.

“Saya sanggup tampil menjadi saksi untuk mengesahkan perkara ini.

“Pertama, tidak adil untuk menahan pembaharuan lesen syarikat penghantaran barang kerana tidak mematuhi syarat 51 peratus ekuiti bumpitera, selepas mereka beroperasi berdekad-dekad lamanya, (tetapi) harus tiba-tiba melepaskan pegangan syarikat mereka.

“Kedua, terdapat berat sebelah dalam pelaksanaan syarat 51 peratus ekuiti bumiputera ini hanya ke atas syarikat tempatan yang mempunyai lesen kastam Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS), tetapi tidak pada syarikat asing pemegang IILS, yang diluluskan pada 2015,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Di mana konsep ‘Keluarga Malaysia’ oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob apabila orang luar lebih dijaga berbanding warga Malaysia?

“Memberi keistimewaan kepada orang asing dengan mengabaikan warga tempatan adalah jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.

Kata Lim, ketika dia menjadi menteri kewangan antara Mei 2018 hingga Februari 2020, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengeluarkan surat menyatakan bahawa syarikat penghantaran barang sedia ada dikecualikan daripada mematuhi syarat 51 peratus ekuiti bumiputera.

“Dalam surat yang dikeluarkan pada 24 Oktober 2018 itu, Jabatan Kastam mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju agar syarikat penghantaran barang yang lesennya dikeluarkan sebelum 1990 tidak perlu melepaskan pegangan kepada syarikat mereka dan menjual saham mereka bagi mematuhi syarat 51 peratus ekuiti bumiputera itu.

“Malangnya, ia nampaknya telah dibatalkan oleh kerajaan sekarang yang cuba memaksa syarikat penghantaran barang yang telah beroperasi sebelum 1990, untuk mematuhi syarat 51 peratus ekuiti bumiputera itu,” kata Lim yang mengakui bahawa syarikat yang dibentuk selepas 1990 diharuskan untuk mematuhi syarat berkenaan untuk mendapat dan memperbaharui lesen.

Katanya, penggantingnya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengesahkan di Parlimen bahawa syarat untuk syarikat penghantaran barang sedia ada dan pemilik IILS tempatan yang dikehendaki menjual saham mereka bagi meningkatkan pemilikan ekuiti sehingga mencapai 51 peratus ekuiti bumiputera, adalah dikeluarkan oleh kerajaan sekarang, bukan pada 2018.

“Melaksanakan peraturan ini secara retrospektif, sama ada kembali ke tahun 2015 atau 1976 adalah jelas melanggar perlembagaan,” tambah Lim, yang mempersoalkan apakah langkah itu akan benar-benar memanfaatkan bumiputera yang miskin.

“Persoalan yang timbul, berapa ramai bumiputera miskin yang akan mendapat manfaat, terutamanya dari Sabah, Sarawak dan Orang Asli, atau ia hanya tertumpu di tangan-tangan bumiputera yang kaya? Bagaimana pula nasib bukan bumiputera yang miskin? Kementerian Kewangan wajar mendedahkan angka terbaru,” katanya.

“Berbanding memerangi rasuah dan kapitalisme berpuak yang memanfaatkan sesetengah pihak, penekanan harus lebih diberikan ke atas agensi-agensi untuk membantu orang miskin, seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menguruskan dana Amanah Saham Bumiputera.

“Daripada menguruskan RM30 bilion aset pada 2001 sehingga lebih RM323 bilion hari ini, PNB telah berkembang lebih 10 kali ganda, dan memiliki kira-kira 10 peratus syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia.

“Antara 2016 dan 2020, RM52.4 bilion dividen telah diagihkan kepada lebih 12 juta pemegang unit bumiputera,” kata Lim.

Lihat Komen