malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jeneral Myanmar Min Aung tak diundang ke Sidang Kemuncak Asean
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 1:34 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

GLOBAL |  Asean mengundang wakil bukan politik dari Myanmar untuk menghadiri sidang kemuncak badan serantau itu pada hujung bulan ini dan bukannya Jeneral Min Aung Hlaing.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Luar Asean dalam kenyataan selepas mesyuarat tergempar Menteri Luar Asean secara maya pada Jumaat (15 Okt), memaklumkan negara anggota badan serantau itu berbincang mengenai persoalan perwakilan Myanmar pada sidang kemuncaknya itu.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa beberapa negara anggota Asean menerima surat daripada pemerintahan pimpinan junta tentea Myanmar memohon supaya mereka dijemput menghadiri sidang kemuncak itu.

“Selepas berbincang panjang lebar, tiada kesepakatan dicapai berhubung penyertaan wakil politik dari Myanmar untuk Sidang Kemuncak ke-38 dan ke-39 Asean dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober 2021.

“Oleh kerana, dengan mengambil kira wujud permintaan sambil menjunjung prinsip tidak campur tangan anggota Asean terhadap hal ehwal dalam negara anggota lain serta memberikan ruang kepada Myanmar untuk memulihkan hal ehwal dalamannya, mesyuarat menerima keputusan untuk menjemput wakil bukan politik daripada negara itu pada sidang berkenaan,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama semalam.

Pun begitu Asean tidak menamakan wakil bukan politik yang diundang ke sidang kemuncaknya itu.

Mesyuarat pada Jumaat itu turut menyaksikan pembentangan laporan Duta Khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar berhubung tugasnya selaku pemudah cara pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, yang diluluskan oleh pemimpin pertubuhan serantau itu di Jakarta pada 24 April lepas.

“Menteri Luar Asean menyuarakan penghargaan terhadap usaha berterusan Duta Khas itu (Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof).

"Sambil menegaskan kepentingan lawatan Duta Khas itu ke Myanmar, mereka juga menekankan kepentingan akses kepada semua pihak bertelagah serta menjunjung Konsensus Lima Perkara,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Menteri Luar Asean turut menegaskan kepentingan menjunjung prinsip yang terpancar daripada Perlembagaan Asean sambil pada masa sama mengiktiraf keadaan di Myanmar yang memberi kesan terhadap keselamatan serantau serta perpaduan, kewibawaan serta kepusatan Asean sebagai organisasi yang berlandaskan peraturan.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan para pemimpin dunia lain dilaporkan akan menghadiri sidang kemuncak bermula 26 Okt hingga 28 Okt ini menerusi sidang video.

Sementara itu, junta tentera Myanmar dipetik BBC berkata pihaknya "kecewa" dengan keputusan itu.

"Myanmar sangat kecewa dan membantah keras keputusan mesyuarat tergempar menteri luar Asean, kerana perbincangan dan keputusan mengenai perwakilan Myanmar dilakukan tanpa persetujuan dan bertentangan dengan objektif Asean," kata kementerian luar negeri Myanmar pada satu kenyataan.

Pada bulan Ogos, Jeneral Min Aung Hlaing menamakan dirinya sebagai perdana menteri Myanmar dan mengisytiharkan keadaan darurat negara itu akan berlarutan ketika pertempuran antara tentera dan tentera yang menentang rampasan kuasa tentera terus berlanjutan.

Tunjuk perasaan belangsung di seluruh Myanmar susulan rampasan kuasa pada Februari. Pasukan keselamatan bertindak balas dengan kekerasan membunuh lebih 1,000 orang dan menahan lebih 6,000 orang, menurut Persatuan Bantuan Tawanan Politik.

Pada April, Asean menggesa junta tentera membebaskan pemimpin politik Myanmar termasuk Kaunselor negara itu, Aung San Suu Kyi dan Presiden, U Win Myint yang ditahan sejak 1 Februari lalu.

Lihat Komen