malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Mulakan tanggungjawab ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB di negara sendiri'
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM
ADS

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mengingatkan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermaksud bahawa Malaysia mesti komited untuk menegakkan, mempertahankan dan mempromosikan hak asasi manusia di tanah air sendiri.

"Atau kalau tidak hanya kosmetik dan tidak bermakna.

"Saya terkedu memikirkan semua pelanggaran hak asasi manusia yang terjadi di negara kita sendiri dan betapa sukarnya menggesa kerajaan memahami bahawa ia mesti mengambil pendekatan dari atas dari segi mengubah undang-undang dan pendekatan dari bawah dari segi mendidik masyarakat mengenai pindaan ini," kata Kasthuri dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun demikian, dia mengatakan bahawa dia juga bangga bahawa Malaysia memenangi kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk penggal 2022 hingga 2024.

"Ucapan Ismail semalam, dia mengatakan Malaysia bersedia untuk mengambil peranan aktif untuk membantu memudahkan pendamaian, kerjasama dan pembangunan konsensus antarabangsa ".

"Saya ingin mengingatkannya dan memegang kata-katanya agar dia melakukan perkara yang sama di negara sendiri.

"Sekiranya kerajaan benar-benar mempercayai isi kandungan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, maka ia harus melakukan pendekatan yang diperlukan untuk memastikannya bergerak ke arah itu dan tidak sebaliknya," katanya.

Dia meminta perdana menteri untuk terlibat dengan semua ahli parlimen untuk melakukan pembaharuan berikut: -

1. Membaharui sistem undang-undang jenayah dan menghapuskan hukuman mati bermula dengan penghapusan hukuman mati mandatori.

- Malaysia kekal sebagai salah satu negara antara 51 yang masih mempunyai hukuman mati. Pada masa ini terdapat 1,366 orang yang menjalani hukuman mati dan jumlahnya meningkat setiap tahun yang menunjukkan bahawa hukuman mati tidak menjadi penghalang jenayah dan harus ada usaha yang lebih besar oleh kerajaan untuk memerangi jenayah dan bukannya dengan hukuman mati.

2. Untuk membentangkan pindaan kepada Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1974 dan peruntukan Syariah bagi menetapkan 18 tahun sebagai usia minimum perkahwinan di Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak.

- Sehingga kini, Malaysia masih membenarkan perkahwinan kanak-kanak mengikut undang-undang. Walaupun terdapat prosedur yang lebih ketat hari ini selepas seluruh negara memberi perhatian terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengahwini seorang gadis berusia 11 tahun. Satu kes perkahwinan kanak-kanak saja sudah menimbulkan kekecohan seluruh negara.

3. Untuk menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kewarganegaraan automatik anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu Malaysia seperti yang dilakukan oleh bapa Malaysia dan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sejajar dengan ini.

- Sehingga kini, Malaysia adalah sebahagian daripada 25 negara yang mempunyai undang-undang kewarganegaraan yang menafikan hak wanita sama dalam memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka.

4. Untuk membentangkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis dalam persidangan Parlimen yang akan datang dan memastikannya disahkan dan melaksanakan tafsiran baru oleh Suhakam mengenai kematian tahanan serta memastikan kebajikan pasukan polis dijaga.

- Malaysia mencatatkan kematian dalam tahanan setiap tahun di lokap, penjara dan pusat tahanan.

5. Untuk menandatangani dan mengesahkan perjanjian antarabangsa seperti Statut Rom, Protokol Kedua kepada Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan, Konvensyen Pelarian 1951 dan konvensyen yang menghilangkan diskriminasi dan intoleransi berdasarkan agama dan kepercayaan serta segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai Kehilangan Paksa.

"Tempat di Majlis Hak Asasi Manusia PBB harus digunakan sebagai peluang keemasan bagi Malaysia untuk menghapuskan amalan yang salah pada masa lalu dan bertindak sebagai pihak negara dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri sendiri.

"Malaysia dan rakyat Malaysia harus pergi lebih jauh dalam mendesak kerajaan untuk bertanggungjawab atas tingkah lakunya di negara sendiri sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk tempoh 2022 hingga 2024," kata Kasthuri.

Lihat Komen