malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM akan kerjasama dengan Bank Negara siasat pendedahan Kertas Pandora
Diterbitkan:  Oct 17, 2021 9:06 AM
Dikemaskini: 1:11 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (SPRM) dan agensi lain bagi menyiasat pendedahan yang dibuat Kertas Pandora baru-baru ini.

Suruhanjaya itu juga meminta ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang membangkitkan perkara itu ketika sidang Dewan Rakyat, "untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut.

SPRM berkata demikian dalam kenyataan ringkas malam tadi.

Semalam juga, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa suruhanjaya itu tidak menyiasat warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Maklumat itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di tempat perlindungan cukai.

Warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Mereka berkata bahawa urusan dengan entiti luar pesisir - termasuk memiliki atau menjadi ahli lembaga pengarah syarikat - yang dijalankan tidak melanggar undang-undang dan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar untuk sebarang aset atau pendapatan yang berkaitan dengan syarikat luar pesisir berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersikap terbuka untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat, sekiranya terdapat bukti salah laku.

Polis juga telah merujuk satu laporan polis berkenaan perkara itu kepada BNM dan akan mengambil langkah sama untuk satu lagi laporan pada esok.

Lihat Komen