malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri nafi spekulasi kabinet mahu p'raya serentak di S'wak, Melaka
ADS

Seorang menteri menolak spekulasi bahawa kabinet berhasrat mengadakan pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak serentak.

Ketika dihubungi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh pilihan raya negeri.

"Saya rasa tidak ada keputusan mengatakan pilihan raya Sarawak akan diadakan bersama dengan pilihan raya Melaka.

"Bagi Melaka, kami (kabinet) akan menyerahkannya kepada SPR untuk memutuskan. Kerajaan negeri (Sarawak) juga menyerahkan kepada SPR untuk membuat panggilan," katanya.

"Ini (pilihan raya serentak) mungkin berlangsung jika SPR menganggapnya bagus untuk mengadakannya, tetapi kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengatakan demikian.

"Perkara ini untuk SPR memutuskan apakah ia bersedia untuk melakukannya," kata Alexander, yang juga setiausaha agung GPS dan ahli parlimen Kapit.

Spekulasi muncul mengenai keputusan kabinet yang dikatakan dibuat minggu lalu untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya negeri diadakan serentak.

Pilihan raya Melaka mesti diadakan pada 3 Disember - iaitu 60 hari selepas dewan undangan negeri dibubarkan susulan cubaan mengambil alih kuasa yang gagal.

SPR akan mengumumkan tarikh pilihan raya negeri esok (18 Okt).

Walaupun darurat di seluruh negara membendung penyebaran Covid-19 dibatalkan pada bulan Ogos, Yang di-Pertuan Agong menyambung perintah darurat bagi Sarawak dari 2 Ogos hingga 2 Februari tahun depan.

Ini bermakna tiada pilihan raya akan diadakan di sana sehingga tarikh itu.

Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sepatutnya tamat pada 6 Jun, masih berkuat kuasa kerana status darurat.

Namun, Agong dapat memutuskan untuk menarik balik perintah darurat lebih awal selepas mempertimbangkan pandangan kerajaan negeri.

Difahamkan, GPS dan kerajaan Sarawak mahu pilihan raya negeri diadakan segera.

Alexander mengesahkan pemimpin GPS pada umumnya berpendapat pilihan raya Sarawak perlu diadakan segera sebelum musim tengkujuh melanda negeri itu pada akhir tahun.

"Selain itu, angka Covid-19 juga menurun di Sarawak manakala kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.

"Untuk rekod, Sarawak negari paling awal yang menerima vaksinasi dan kami tidak ingin terjebak dalam situasi keberkesanan vaksin yang semakin lama semakin berkurangan," tambahnya.

Alexander berkata mereka tidak pasti jika akan ada lonjakan Covid-19 lagi pada awal tahun depan tetapi mereka berharap untuk tidak menghadapi ketidakpastian itu.

"Sekarang, kerajaan negeri merasa sudah waktunya (untuk pilihan raya negeri)," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen