malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahidi: KKMM akan siasat rakaman audio isu Melaka

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata bahawa kementeriannya akan menyiasat rakaman audio yang didakwa membabitkan bekas ketua menteri Melaka Idris Harun dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil menyatakan kekecawaan berhubung pembocoran audio tersebut, Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata bahawa beberapa individu tidak bertanggungjawab membuat sedemikian (membocorkan audio) dengan niat mencemarkan reputasi ahli politik.

"Kita perlu siasat perkara ini kerana insiden ini dulu pernah berlaku kepada Najib Razak, Anwar (Ibrahim) dan Zahid Hamidi. Dan sekarang, perdana menteri sendiri.

"Ini cukup memalukan. Dan hari ini MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno berasa kecewa dan menyatakan pendirian bahawa perkara ini perlu disiasat," katanya kepada pemberita di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Rakaman audio berkenaan disebarkan individu yang tidak dikenali ke beberapa organisasi berita pada 11 Okt yang lalu.

Rakaman tersebut membabitkan dua lelaki yang bercakap mengenai bekas ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali - yang dijatuhkan Idris dan tiga Adun lain baru-baru ini - yang didakwa tunduk kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Ab Rauf Yusoh.

Untuk rekod Ab Rauf ialah pengerusi Umno Melaka.

Salah seorang dalam rakaman audio itu mendakwa kerajaan Melaka sekarang mengamalkan dasar diskriminasi terhadap orang bukan Melayu di negeri berkenaan.

Seorang lagi lelaki terbabit kedengaran memberi perhatian kepada dakwaan tersebut namun pada masa sama cuba meyakinkan rakan seperbualannya agar memikirkan semula keinginannya mahu menarik balik sokongan kepada kerajaan Melaka.

Siasat syarikat telekomunikasi

Sementara itu, Zahidi berkata bahawa kementeriannya akan menyiasat syarikat telekomunikasi untuk melihat sama ada mereka terlibat dalam rakaman audio berkenaan.

"Kita akan lakukan siasatan adakah syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam merakam tu.

"Jadi, maknanya kementerian komunikasi akan melihat jika antaranya syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam usaha merakam suara-suara ini," katanya.

Tambahnya, dia berharap bahawa perkara ini tidak berulang pada masa hadapan.

"Perkara ini telah menjadi trend dan terus berlaku, tidak bagus. Privasi orang ini telah diceroboh. Kementerian komunikasi bertanggungjawab atas perkara ini.

"Tapi, kalau mereka yang terlibat sendiri rakam, contohnya antara perdana menteri dengan pihak lain, sudah tentulah perdana menteri tidak merakam.

"Orang lain rakam, gunakan sebagai kempen politik menjelang pilihan raya," katanya.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen