malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Badan Peguam mohon bantu mahkamah dalam rayuan Najib, anak kes tunggakan cukai

Badan Peguam Malaysia memohon untuk menjadi 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan surat bertarikh 13 Okt yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam Malaysia memohon mahkamah membenarkan lapan peguamnya diterima masuk sebagai 'amicus curiae' bagi mendengar rayuan itu.

Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu perintah Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai itu.

Badan Peguam Malaysia antara lain menyatakan bahawa kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai 'amicus curiae' untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya telah menerima surat itu menerusi e-mel hari ini.

Beliau berkata pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 29 Okt ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia, turut memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen