malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inspektor polis lepas, bebas tuduhan tukar barang rampasan
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 10:08 AM
Dikemaskini: 10:08 AM

Seorang pegawai polis wanita berpangkat inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di Klang hari ini, daripada pertuduhan menukar barang rampasan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 201.2 gram kepada gula batu untuk dihantar ke Jabatan Kimia pada 2019.

Majistret P Sarulatha membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Juliana Shamsuddin, 37, di akhir kes pendakwaan.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan dikendalikan sejak dia dituduh kali pertama pada 12 Feb tahun lepas.

Juliana didakwa menukar barang rampasan membabitkan 15 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 201.2 gram kepada gula batu sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis, dengan niat melindungi seorang individu daripada hukuman.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sekitar pukul 7.30 malam pada 4 Jan 2019 sehingga pukul 11.31 pagi pada 10 Jan 2019 di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dekat sini, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dengan tempoh penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sarulatha dalam penghakimannya berkata terdapat beberapa kelompongan yang tidak dapat ditutup oleh pihak pendakwaan antaranya membabitkan kawalan kunci bilik penyiasat, sehingga menimbulkan tanda tanya.

Selain itu, beliau berkata pihak pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang juga seorang anggota polis, yang disebut ketika perbicaraan berlangsung.

"Pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan. Pertuduhan juga cacat apabila hanya satu daripada 15 paket plastik lut sinar sahaja diuji membuatkan kandungan 14 paket lagi menjadi tanda tanya," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen