malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH bazir waktu cabar pembubaran DUN Melaka - Isham Jalil
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 9:12 AM
Dikemaskini: 9:12 AM

Pakatan Harapan (PH) sekadar membazir waktu dan sumber mahkamah dengan mencabar keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kata Isham Jalil.

Ketua Penerangan BN Selangor itu berkata, pembubaran DUN Melaka yang dipohon Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali sah kerana mengikut undang-undang tubuh negeri.

"Sebab itu juga kelmarin saya kata bahawa pilihan yang ada sekarang adalah sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri atau menangguhkan pilihan raya melalui pengisytiharan darurat di negeri Melaka.

"Jika PH ingin membazirkan waktu dan sumber mahkamah untuk mencabar keputusan TYT (Yang di-Pertua Negeri) untuk membubarkan DUN, itu adalah hak mereka dan kita akan lawan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 5 Okt lalu, kemelut politik di Melaka akan diselesaikan dengan mengembalikan hak untuk menentukan kerajaan negeri kepada pengundi.

Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.

Ab Rauf juga mengumumkan pembubaran DUN Melaka.

Dalam pada itu, Isham berkata notis atau nasihat pembubaran DUN kepada TYT Melaka telah dibuat pada sebelah pagi iaitu pada sekitar jam 11.

Manakala sidang akhbar penarikan sokongan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dibuat pada sebelah petang pada hari yang sama iaitu jam 2 petang.

"Oleh itu semasa nasihat diberikan oleh ketua menteri untuk pembubaran DUN, penarikan sokongan empat Adun itu masih belum berlaku, oleh itu semasa DUN dibubarkan, ketua menteri masih mempunyai sokongan.

"Namun demikian, persoalan masa atau 'timing' nasihat pembubaran DUN dan penarikan sokongan Adun ini bukanlah suatu isu undang-undang namun adalah isu politik.

"Sebab mengikut undang-undang (bertulis atau secara konvensyen), apabila seorang ketua kerajaan atau ketua menteri telah hilang sokongan majoriti, dia mempunyai dua pilihan iaitu, pertama, untuk meletakkan jawatan, atau kedua, untuk membubarkan DUN," katanya lagi.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen