malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suri rumah dituduh peras ugut selepas 'kurung' suami

Gara-gara mengugut suaminya supaya tidak keluar dari bilik sebuah hotel dan memeras sejumlah wang, seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Alimi Wahidah Shamsul Anwar, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, Alimi didakwa dengan niat jahat melakukan pemerasan terhadap suaminya, Mat Yasin Junus, 60, dengan cara mengambil wang tunai sebanyak RM13,000 sehingga membawa ketakutan kepada mangsa.

Kejadian itu didakwa berlaku pada jam 6.19 petang di sebuah bilik hotel di Kota Bharu pada 21 Sept lalu.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Nazuha Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam bela Ariyani Mohd Amin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu Nazuha menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala Ariyani merayu agar diberikan jaminan yang rendah memandangkan Alimi menangung seorang emak dan dua anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan suri rumah terbabit diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes itu akan disebut semula pada 19 Dis depan. Sementara menunggu tarikh itu tertuduh dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Kota Bharu serta tidak mengganggu saksi.

Difahamkan tertuduh dan Mat Yasin bernikah tanpa mengikut prosedur yang sah di sebuah hotel pada Julai lalu. Lelaki terbabit kemudian diminta tinggal saja di hotel kerana bimbang pernikahan mereka diketahui isteri pertama mangsa.

Mat Yasin juga dikatakan dihubungi pegawai polis supaya menyerahkan wang RM13,000 sebagai perlindungan melalui tertuduh.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membenarkan seseorang disabitkan bersalah untuk dipenjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen