malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli parlimen tubuhkan Kaukus Ganja Perubatan
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 3:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Sekumpulan ahli parlimen rentas parti bersetuju untuk menubuhkan Kaukus Ganja Perubatan bagi mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum serta ganja perubatan bagi mengurangkan kemudaratan sebagai salah satu perubatan alternatif yang diiktiraf negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan pengerusi kaukus tersebut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, penubuhan badan berkenaan selaras dengan usaha untuk mengembangkan industri ketum dan ganja perubatan di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat tempatan.

"Sebagai sebahagian dari rangka kerja awal, Kaukus Ganja Perubatan akan bertemu dengan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.

"Hasil daripada penubuhan badan ini, Kaukus Ganja Perubatan akan mengemukakan draf cadangan untuk perhatian kerajaan Malaysia bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan ganja perubatan dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini

Selain Syed Saddiq, ahli lain kaukus tersebut ialah Azalina Othman Said (Umno-Pengerang), Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), Xavier Jayakumar (bebas-Kuala Langat), Darell Leiking (Warisan-Penampang), Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching), Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Syed Saddiq yang juga merupakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) lantang bersuara di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi menggesa agar kerajaan meneliti perbincangan yang terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Kata ahli parlimen Muar itu dia berharap kerajaan dapat membentangkan kertas kerja yang mengikut data dan sains mengenai manfaat dan keburukan dalam meluluskan industri hemp dan rawatan ganja. 

Pada 5 Okt lalu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan perlu melihat dari perspektif yang lebih besar dalam mengembangkan keperluan industri ganja perubatan.

Katanya, ia melibatkan beberapa pindaan akta berkaitan Kementerian Kesihatan. 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen