malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO Melayu desak k'jaan siasat individu dalam Kertas Pandora
Diterbitkan:  Oct 12, 2021 2:26 PM
Dikemaskini: 7:58 AM
ADS

Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak kerajaan menyiasat kemungkinan salah laku di kalangan mereka yang dinamakan dalam Kertas Pandora termasuklah golongan menteri yang memiliki akaun luar pesisir.

Pengerusi Biro politik MPM, Shahbudin Embun berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan dan Suruhanjaya Diraja (RCI) perlu disegerakan bagi menyiasat pendedahan berkenaan.

"Pihak berkuasa without fear or favour hendaklah menyiasat perbuatan salah laku undang undang negara yang serius ke atas sesiapa saja yang terlibat waima mereka adalah menteri, bekas menteri, VVIP serta sesiapa saja yang telah dinamakan dalam Pandora Papers tersebut.

"Sekiranya berlaku kesalahan maka pendakwaan hendaklah dilakukan secara adil dan mengikut undang-undang negara kita," kata Shahbudin dalam satu kenyataan hari ini.

MPM mengulas usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan ahli-ahli parlimen lain agar isu itu dibahaskan di parlimen.

Bagaimanapun permintaan Anwar agar isu itu dibahaskan ditolak berulangkali oleh Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

Anwar hari ini turut menempelak pemimpin Umno, Bersatu dan PAS yang menonjolkan diri mereka sebagai "jaguh Melayu dan Islam" namun mendiamkan diri mengenai pendedahan berkenaan.

Kertas Pandora merupakan dokumen yang dibocorkan daripada 14 penyedia perkhidmatan yang membantu individu menubuhkan entiti luar pesisir, kebanyakannya berada di syurga cukai (tax haven).

Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa yang berpusat di Washington DC memperoleh dokumen tersebut yang kemudian memberikan akses kepada rakan kongsinya di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Malaysiakini telah menamakan segelintir rakyat Malaysia dalam Kertas Pandora itu termasuk bekas menteri kewangan dan tokoh korporat Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

Bagaimanapun kesemua mereka menafikan melanggar undang-undang dan mengatakan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar.

Meskipun memiliki akaun luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, ia mungkin mengakibatkan kehilangan pendapatan kepada kerajaan.

Kebocoran serupa pada masa lalu melalui Kertas Panama dan Paradise Papers menyebabkan pengawasan yang lebih ketat terhadap isu syurga cukai.

Lihat Komen