Peguam Latheefa Koya membidas Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mendakwa mengeluarkan "naratif palsu" mengenai isu kewarganegaraan automatik.
Ini selepas KDN menyiarkan infografik di Twitter yang menjelaskan kelayakan untuk mendapatkan taraf warganegara kepada individu yang dilahirkan di Malaysia adalah berdasarkan dokumen pengenalan diri dan taraf perkahwinan ibu bapa mereka.
"Tidak semua orang yang dilahirkan di Malaysia layak mendapat taraf warganegara Malaysia. Taraf kewarganegaraan ditentukan secara kuat kuasa undang-undang berdasarkan dokumen pengenalan diri dan taraf perkahwinan ibu bapa sewaktu kelahiran berlaku," kata kementerian itu.
Bagaimanapun Latheefa mendakwa, KDN memberikan "naratif palsu" dalam isu membabitkan individu yang tidak memiliki hak kewarganegaraan.
"KDN sepatutnya lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan tweet yang bersifat naratif palsu iaitu kononnya orang-orang yang memohon hak kewarganegaraan semata-mata kerana mereka dilahirkan di Malaysia.
"Khususnya Seksyen 1(e) Bahagian Kedua Jadual Kedua (Artikel 14) dengan jelas menyatakan sesiapa yang dilahirkan di negara ini dan bukan rakyat mana-mana negara lain adalah diiiktiraf sebagai warganegara Malaysia," katanya.
'Propaganda jahat dan mengarut'
Latheefa berkata, ribuan penduduk dinafikan hak untuk mendapat kewarganegaraan oleh KDN meskipun mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak diiktiraf di negara lain.
"Penafian kerakyatan kepada golongan ini secara sistematik dan yang berterusan ini akan menjadi satu ketidakdilan yang bersejarah serta membawa malu kepada negara kita ini.
"Propaganda tidak masuk akal oleh Kementerian Dalam Negeri ini mempunyai akibat yang nyata bagi puluhan ribu orang yang berhak mendapat kewarganegaraan tetapi ditolak dan ditolak," katanya.
Malaysia mempunyai sejumlah penduduk tanpa warganegara, terutama di Sabah yang datang sebagai pelarian pada tahun 1970-an.
Bagaimanapun kerajaan dilihat kurang keazaman politik untuk menyelesaikan masalah itu selama puluhan tahun.