malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RUU oleh Wan Junaidi akan takrif semula makna 'Persekutuan'
Diterbitkan:  Oct 8, 2021 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM
ADS

Rang undang-undang yang diusulkan menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan akan mentakrifkan semula maksud "Persekutuan".

Menurut ahli parlimen yang menghadiri taklimat Wan Junaidi di Parlimen semalam, RUU itu antara lain bertujuan meminda Perkara 160 (2).

Perkara 160 (2) adalah daftar istilah dari beberapa ungkapan yang digunakan dalam perlembagaan. Salah satu ungkapan tersebut adalah "Persekutuan" ("The Federation"), yang pada masa ini ditakrifkan sebagai "bermaksud Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957" ("means the Federation established under the Federation of Malaya Agreement 1957").

Definisi baru yang dikemukakan oleh Wan Junaidi dalam bahasa Inggeris seperti berikut: "'The Federation' means the Federation that was first established under the Federation of Malaya Agreement 1957 and further pursuant to an Agreement concluded on the 9th day of July, 1963 between the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, the Federation of Malaya, North Borneo, Sarawak and Singapore, the Federation is called Malaysia with Colonies of North Borneo and Sarawak and the State of Singapore federated with the existing States of the Federation of Malaya as the States of Sabah, Sarawak and Singapore in accordance with the constitutional instruments annexed thereto but under and by virtue of the Agreement relating to the separation of Singapore from Malaysia as an independent and sovereign State dated 7th August 1965, Singapore has ceased to be a State of Malaysia."

("'Persekutuan' bermaksud Persekutuan yang pertama kali ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan seterusnya berdasarkan Perjanjian yang disepakati pada 9 Julai 1963 antara United Kingdom of Great Britain dan Ireland Utara, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak serta Singapura, Persekutuan disebut Malaysia dengan Jajahan Borneo Utara dan Sarawak dan Singapura bersekutu dengan Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang ada sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura sesuai dengan instrumen perlembagaan yang dilampirkan tetapi di bawah dan berdasarkan Perjanjian yang berkaitan dengan pemisahan Singapura dari Malaysia sebagai Negara yang merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965, Singapura telah berhenti menjadi Negara Malaysia.")

Sekiranya diluluskan, ini akan menjadi kali pertama Perjanjian Malaysia 1963 diakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi juga mengusulkan penyisipan ungkapan lain dalam Perkara 160 (2) yang berbunyi: "'Hari Malaysia' bermaksud hari keenam belas bulan September, tahun sembilan belas enam puluh tiga."

Perlembagaan dalam bentuknya sekarang mentakrifkan "Hari Merdeka", tetapi bukan "Hari Malaysia", walaupun "Hari Malaysia" disebut berulang kali.

Wan Junaidi juga mencadangkan untuk meminda Perkara 160A untuk menghapus definisi kumpulan etnik yang dianggap "asli" (native) di Sarawak dan memperkenalkan klausa baru yang akan membolehkan undang-undang Sarawak menentukan definisi "asli".

Mengenai Perkara 1 (2) yang diperdebatkan, Wan Junaidi mengatakan kepada ahli parlimen bahawa ia akan dikembalikan ke versi sebelum 1976 yang berbunyi:

"(2) Negeri-negeri Persekutuan adalah:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu, iaitu, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang,

Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak. "

Dalam versi ketika ini, Perkara 1(2) tidak mengkategorikan negeri-negeri terlibat.

Pada 2019, pentadbiran Pakatan Harapan mengusulkan pindaan serupa pada Perkara 1(2). Namun, rang undang-undang ini tidak dapat diluluskan kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen ketika itu.

Ahli Parlimen BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali daripada undian itu.

Perkara 1 (2), dalam versi ketika ini, mula diguna pakai sebagai undang-undang ketika pentadbiran Abdul Razak Hussein dengan sokongan ahlia parlimen Sabah dan Sarawak.

Wan Junaidi menyasarkan untuk mendapatkan kelulusan kabinet bagi rang undang-undang tersebut pada 22 Oktober dan dijangka membentangkannya di Dewan Rakyat pada 26 Oktober.

Lihat Komen