Sumber dalaman DAP mengesahkan parti itu dihubungi oleh Umno Melaka sebelum Ketua Menteri Sulaiman Md Ali kehilangan sokongan majoriti di dewan undangan negeri (DUN).
Kata sumber yang dekat dengan kejadian itu, tiada sebarang persetujuan dicapai di antara kedua-dua parti dan perbincangan itu hanya secara dalaman membabitkan pemimpin tertentu.
"Sebenarnya perbincangan sudah berjalan agak lama tetapi kami tidak pernah capai persetujuan, menjanjikan sesuatu atau menolak apa-apa. Kami sentiada membuka segala kemungkinan.
"Hakikatnya mereka (Umno) hanya datang kepada kami apabila diancam keadaan tidak stabil. Rauf (Speaker DUN Melaka yang juga pengerusi Umno negeri) menawarkan perjanjian keyakinan dan perbekalan tetapi tiada perbincangan spesifik dibuat.
"Dia kemudian tak layan kami selepas kerajaan kembali stabil," katanya.
Sumber itu merujuk kepada pertemuan di antara kedua-dua pihak pada Ogos lalu apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipaksa untuk berundur daripada jawatan perdana menteri.
Sinar Harian melaporkan Ab Rauf Yusof mengakui bertemu pemimpin DAP Melaka pada malam 3 Okt lalu bagi membincangkan cara mengelakkan jatuhnya kerajaan negeri.
Menurut Ab Rauf dia kecewa kerana pemimpin DAP tidak menerima cadangan yang ditawarkan, termasuk menjadi rakan strategik dalam kerajaan negeri seperti diumum Sulaiman pada 21 Sept lalu.
Kata Ab Rauf pertemuan tersebut diatur seorang pemimpin Umno dan dia bertindak sebagai wakil BN Melaka, bukannya kerajaan negeri.
Sementara itu Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo Shen Li tidak mengesahkan atau menafikan pertemuan tersebut semasa dihubungai Malaysiakini.
Bagaimanapun Adun Duyong itu berpendapat Umno Melaka tidak ikhlas dengan usaha tersebut kerana mencadangkan gencatan politik dengan DAP ketika kedudukan BN-PN terancam.
"Mereka hanya mahu berbincang dengan kami ketika Umno nak jatuh. Semasa Umno kuat mereka mengetepikan kami," katanya.
Yeo turut mempersoalkan pendirian Umno yang selama ini mengulang-ulang ikrar untuk menolak DAP dan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.
"Dulu mereka kata 'no Anwar, no DAP. Habis, apa makna pertemuan dengan kami? Adakah mereka sekarang nak kata 'yes DAP' pula?" katanya.