malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS tubuh jawatankuasa bagi rangka strategi hadapi PRN Melaka
Diterbitkan:  Oct 7, 2021 12:35 AM
Dikemaskini: 12:35 AM
ADS

PAS menyatakan rasa kesal dengan pembubaran dewan undangan negeri Melaka yang berlaku ketika negara masih berdepan pandemik, namun parti itu bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Dalam kenyataan media semalam, presidennya Abdul Hadi Awang berkata PAS telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk PRN Melaka bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya tersebut.

"Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dengan dibantu oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka," katanya.

Kenyataan itu hadir selepas pemimpin PAS bermesyuarat secara maya bagi membincangkan situasi politik di Melaka.

Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan membuka laluan kepada PRN.

Ini selepas empat Adun menarik balik sokongan mereka terhadap ketua menteri  Sulaiman Md Ali, yang seterusnya kehilangan majoriti.

Empat Adun itu ialah Idris Haron (Umno-Sungai Udang),  Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Sebelas Adun PH turut bersama dengan keempat-empat Adun berkenaan mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan pertemuan dengan Ali untuk membincangkan usaha yang dapat dilakukan untuk memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh semalam mengumumkan bahawa cadangan agar diadakan PRN diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.

Adun yang tidak berpuas hati dengan pembubaran itu kemudian mengumumkan bahawa mereka akan ke Istana Negara hari ini bagi mengadu kepada Agong mengenai perkara itu.

Lihat Komen