malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'PRN di Melaka boleh jejaskan usaha pemulihan Covid-19'
Diterbitkan:  Oct 5, 2021 4:24 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

PKR dan DAP hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka berikutan penarikan sokongan empat Adun daripada kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).

Adun Machap Jaya, Ginie Lim dalam satu kenyataan juga membidas pembubaran DUN Melaka yang diumumkan oleh Speaker DUN, Ab Rauf Yusoh.

Pemimpin PKR itu berkata pilihan raya di peringkat negeri adalah satu keputusan yang dibuat secara unilateral tanpa berbincang dengan semua pihak dan bertentangan dengan semangat muafakat.

“Keputusan mengadakan pilihan raya negeri dalam masa pandemik Covid-19 telah meletakkan rakyat dalam risiko jangkitan, dan Umno harus bertanggungjawab sekiranya pilihan raya negeri menjejaskan kesihatan awam.

“Namun kami menerima cabaran ini bagi mengembalikan mandat rakyat Melaka dalam PRU lalu,” katanya.

Menurut Lim, ini adalah peluang untuk rakyat Melaka bersuara dan memberi mesej yang jelas kepada pimpinan politik baik peringkat negeri mahupun nasional tentang hala tuju negara.

“Selepas berkhidmat tiga tahun sebagai Adun,” saya ucapkan terima kasih kepada semua warga Machap Jaya, penyokong dan anggota parti yang telah memberi kerjasama dan peluang untuk saya berkhidmat selama 40 bulan.

Saya akan terus pertahankan DUN Machap Jaya agar kemenangan kembali kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP juga menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

"Malaysia sedang beransur pulih daripada krisis Covid-19 dan pilihan raya akan menjejaskan proses pemulihan tersebut.

"Kita tidak harus mengulangi kesilapan seperti pilihan raya negeri Sabah pada tahun lepas yang telah menyebabkan peningkatkan kes Covid-19 secara mendadak dan kerajaan hilang kawalan terhadap virus tersebut," kata Penolong Setiausaha Organisasi DAP Khoo Poay Tiong dalam satu kenyataan hari ini.

Ini susulan keputusan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam yang membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

“Umum diketahui bahawa kerajaan PN di Melaka menghadapi konflik dalaman sejak penubuhan kerajaan tersebut.

“Kini, konflik dalaman tersebut telah merebak dan empat orang Adun tersebut telah sekali lagi mencetuskan krisis politik di Melaka yang berkemungkinan merebak ke seluruh negara,” kata Khoo juga anggota parlimen Kota Melaka.

Kerajaan negeri pimpinan Sulaiman tumbang susulan langkah empat Adun yang diketuai oleh Idris Haron (BN-Sungai Udang) menarik balik sokongan mereka terhadap kepemimpinannya semalam.

Tiga yang lain itu adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Khoo berkata bahawa CEC mengadakan mesyuarat semalam untuk membincangkan perkembangan politik di Melaka dan bahawa kepemimpinan Pakatan Harapan Melaka yang diterajui Adly Zahari, diundang untuk memberi penerangan kepada pucuk pimpinan parti.

"Sebuah kerajaan baharu sepatutnya ditubuhkan di Melaka berdasarkan perlembagaan negeri.

"Parti atau gabungan yang mempunyai majoriti wajar diberi peluang dan jemputan utama untuk menubuhkan kerajaan baru.

"Dalam mesyuarat CEC, pihak CEC telah menyatakan pilihan calon ketua menteri kepada Adly Zahari," kata Khoo.

Katanya, memandangkan kerajaan negeri PN di Melaka telah tumbang, maka sewajarnya ketua menteri sekarang seharusnya segera mengundurkan diri kerana dia tidak lagi memiliki majoriti di DUN.

“Beliau tidak mempunyai kedudukan untuk menasihatkan supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Yang di-Pertua Negeri mesti diberi ruang untuk bertindak secara bebas dan objektif berlandaskan perlembangan negeri, tanpa sebarang pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak," kata Khoo.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan cadangan mengenai kemungkinan perisytiharaan darurat di Melaka sebagi langkah untuk menangguhkan pilihan raya tersebut.

Zahid berkata Suruhanjaya Pilihan Raya harus berunding dengan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pilihan raya tersebut.

“Saya juga berpandangan jika masalah pndemiki ni, ikut pandangn MKN dan KKM amat bahaya diadakan PRN dalam tempoh 60 hari sebagaimana ditentukan dalam Akta Pilihan Raya, maka tentulah panduan sebagaimana yang berlaku di negeri Sarawak mungkin boleh diikuti,” katanya.

Lihat Komen