malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid bangkit kemungkinan darurat diperlukan di Melaka
Diterbitkan:  Oct 5, 2021 4:24 PM
Dikemaskini: 9:50 AM
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri di Melaka.

Ia selepas Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Sulaiman telah mengemukakan permintaan itu dalam usaha untuk menghentikan usaha oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Idris Haron yang menjatuhkan pemerintahannya di negeri itu.

Pembubaran itu berlaku semalam (4 Oktober dan pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari.

Zahid berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan pilihan raya.

"Jika pandemik ini menurut pandangan KKM dan MKN amat bahaya untuk diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari seperti ditetapkan dalam undang-undang pilihan raya, tentulah panduan sebagaimana berlaku di Sarawak mungkin boleh diikuti.

"Keadaan kesihatan dan pandemik ini harus diberikan keutamaan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam Idris bersama tiga lagi Adun mengumumkan bahawa mereka hilang kepercayaan kepada ketua menteri sekali gus menyebabkan kerajaan Melaka hilang majoriti.

Sementara itu Zahid berkata, keputusan sama ada pilihan raya negeri perlu diadakan atau sebaliknya bergantung kepada SPR atas nasihat dan pandangan MKN dan KKM.

"Kelazimannya proses pembubaran DUN telah diikuti dengan tatacara undang-undang tubuh sesebuah negeri terutamanya negeri Melaka. Maka persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri diperolehi, saya adakan perbincangan dengan ketua menteri bersama dengan speaker DUN yang merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Melaka dan pengerusi BN negeri.

"Namun saya mengharapkan agar SPR setelah menerima pengutusan rasmi dari speaker DUN Melaka, akan adakan perbincangan dengan MKN dan juga KKM bagi menentukan perkara sebenar apakah PRN akan didakana mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

Jelasnya lagi, sehingga pilihan raya diumumkan oleh SPR jawatan ketua menteri akan berfungsi dalam bentuk 'caretaker'.

"Untuk itu saya serahkan kepada ketua menteri untuk tentukan supaya kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa dan terserah kepada beliau daripada 10 orang exco kerajaan negeri berapakah jumlah exco yang diberikan kepercayaan untuk membantu bagi lunaskan perjaalanan dan pentadbiran kerajaan Melaka.

"Pada hemat saya tiga orang exco negeri yang hilang kepercayaan kepada ketua menteri tentunya dapat fikirkan bahawa mereka tidak lagi harus berada bersama dengan ketua menteri untuk melicinkan pentadbiran kerajaan," kata Zahid.

Lihat Komen