malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Lalu PAS dengan rela memapah Umno
ADS

ULASAN | Kalau PAS ini hanya sekadar parti politik seperti mana parti-parti politik sekular yang lain di dunia ini, sudah lama PAS balas balik serangan Umno.

Lebih-lagi lagi kebelakangan ini cukup hebat serangan Presiden Umno terhadap PAS. Semacam tiada sejarah semalam. Sejarah Umno tersungkur di hujung kaki Pakatan Harapan (PH).

Lalu PAS dengan rela memapah Umno. Meniupkan semangat untuk tidak mengalah dengan kekalahan itu. Mengajak Umno dalam sebuah agenda besar demi agama, bangsa dan negara.

Saat Presiden Umno membelasah PAS, seorang pun pimpinan PAS tidak menjawab balas. PAS sudah hilang maruahkah? PAS sudah hilang hujahkah? PAS sudah kelu lantaran sudah selesa dengan jawatan menteri dan timbalan menterikah?

Semuanya bukan.

PAS tidak membalas kerana PAS sangat menghargai ukhuwah dan persaudaraan yang sudah dijalin dalam Muafakat Nasional. Ia adalah nikmat Allah yang tidak boleh dikufuri. Nikmat yang mesti dihargai.

PAS memikirkan Islam. Kalau bukan kerana Islam boleh sahaja PAS menarik sokongan terhadap perdana menteri Umno. Dan sudah tentu kerajaan Ismail Sabri Yaakob ini akan tumbang.

Jika menumbangkan kerajaan Melayu Islam ini bukan sebuah dosa PAS boleh lakukannya. Kalau bukan kerana memberikan kuasa keppada DAP/PH itu suatu dosa, PAS boleh melakukannya.

Soal PAS juga akan kalah itu sudah biasa bagi PAS. Tapi semuanya PAS tidak lakukan kerana Islam. PAS rela dikatakan bacul kerana tak menjawab serangan Presiden Umno. PAS sanggup dibuli bahkan diperbodohkan oleh ahli sendiri lantaran bertahan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Namun PAS pekakkan teliga demi Islam.

Kita mesti ingat, bergelanggang dalam gelanggang politik ini hendaklah kerana Islam. Kalau tidak kita akan jadi orang gila yang asyik mengejar kuasa dan harta.

Bagi orang gila apa peduli dengan Islam asalkan dapat kuasa. Berbeza dengan Muslim yang tidak gila, kuasa dipertahankan kerana Islam.

Berhentilah berpolitik ala barbarian. Jujur sahaja dengan agenda politik demi agama, bangsa dan negara. Duduk semeja penuh insaf. Rangka agenda kerajaan Melayu Islam yang kuat melibatkan semua parti Melayu Islam yang ada.

Ambil kira semua kepentingan rakyat termasuk Sabah dan Sarawak. Jangan pedulikan dubuk-dubuk politik yang bekeliaran mencari secarik daging. Jangan ulangi kesilapan lampau iaitu perpecahan dan ketamakan telah menumbangkan kedaulatan agama dan bangsa ini.


MOKHTAR SENIK ialah anggota Jawatankuasa PAS Pusat, dan pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia. Tulisan ini asalnya disiarkan di Facebook dengan tajuk "Kalau PAS ini sekadar parti politik tanpa Islam."

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen