Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid hari ini menasihati wakil rakyat di Melaka agar tidak tergesa-gesa mahu melompat parti bagi mengelak krisis politik yang berpanjangan.
Pada masa sama Menteri Pembangunan Luar Bandar itu juga mengingatkan agar parti-parti politik - termasuk pembangkang - agar menghormati memorandum persefahaman yang ditandatangani di peringkat pusat.
Katanya ia juga bagi mengelakkan berlaku suasana kelam-kabut seperti yang berlaku di Melaka ketika ini.
“Kita dengar titah Yang di-Pertuan Agong untuk menstabilkan keadaan politik, (supaya) membolehkan tumpuan kerajaan kepada pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
"Kita dengar apa yang dititahkan itu agar wujudkan collaboration (kerjasama dalam politik),” katanya dalam kenyataan media selepas menghadiri majlis rasmi di Kuala Nerang hari ini.
Semalam perhatian ramai tertumpu kepada Melaka apabila timbul desas-desus mengenai pertukaran kerajaan negeri ekoran ada beberapa Adun yang mahu berpaling tadah.
Bagaimanapun sumber dalaman PKR memberitahu gerakan itu bukan digerakkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebaliknya Adun tertentu yang didakwa tidak berpuas hati kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Kekalkan kerajaan sedia ada
Khabar angin itu semakin kuat bertiup apabila Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa Adun Melaka di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun hari ini Anwar mengesahkan belum ada sebarang permohonan dibuat untuk menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam.
Secara keseluruhan DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) menguasai 17 manakala selebihnya PH.
Mahdzir adalah pemimpin kanan pertama Umno yang mengulas mengenai krisis kepemimpinan yang berlaku di Melaka setakat ini.
Sementara itu Astro Awani yang melaporkan majlis berkenaan memetik Mahdzir sebagai berkata dia beharap pihak terbabit memikirkan usaha untuk mengekalkan kerajaan sedia ada di Melaka.
"Kita pun paling tinggi (atau paling lama) ada lebih kurang setahun setengah lagi, tentulah ada pilihan raya (umum ke-15), tak perlulah (pihak itu) tergesa gesa," katanya.