malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: K’jaan patut teliti ganja sebagai rawatan alternatif
ADS

PARLIMEN | Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mencadangkan supaya kerajaan meneliti perbincangan yang terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Sambil membandingkan negara-negara lain termasuk Thailand, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata dia tidak mahu melihat Malaysia ketinggalan dalam membincangkan isu kajian penggunaan ganja dalam perubatan hanya disebabkan ia dianggap isu sensitif.

“Walhal kajian berdasarkan sains dibentangkan contohnya industri rokok dan arak jauh lebih berbahaya tapi tak ada moral courage (keberanian moral) untuk bincang pasal ini.

“Saya ingin cadangkan kerajaan ada penelitian perbincangan dan khusus untuk kita lihat kelulusan industri hemp dan marijuana kerana banyak anak muda di luar kita lihat ada masalah kesihatan bipolar disorder yang boleh dibantu guna jalan ini (ganja perubatan) as form of alternative tratement seperti yang dilakukan negara lain,” katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq berharap supaya kerajaan dapat membentangkan satu kertas kerja yang mengikut data dan sains mengenai manfaat dan keburukan dalam meluluskan industri hemp dan rawatan ganja.

Katanya, kerajaan boleh mengadakan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh pelbagai kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

“Saya katakan ini kerana lebih 40 negara hari ini kelulusan hemp atau medical marijuana telah diluluskan.

“Ini termasuk negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina, Denmark, dan baru-baru ini negara jiran kita Thailand,” katanya.

Malah menurutnya, nilai pasaran sedia ada melalui rawatan tersebut sekitar RM60 bilion dan dalam masa empat tahun lagi ia dianggarkan akan mencecah sebanyak RM400 bilion.

“Kita tak nak ketinggalan lagi bila negara jiran telah jauh ke hadapan dan kita sekali lagi hanya melakukannya 10 atau 20 tahun dari sekarang, apabila ia sudah terlambat.

“RMK berkenaan merancang masa hadapan. Dan apabila kita bercakap tentang perancangan masa hadapan, perlu ada keberanian moral untuk membincangkan perkara-perkara sekarang ini secara terbuka di Dewan,” katanya. 

Lihat Komen