Seorang pemimpin Amanah hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bahawa Annuar Musa menyokong permohonan sebuah syarikat pemaju bagi mendapatkan dua bidang tanah kerajaan ketika menjadi menteri wilayah persekutuan.
Ketua Amanah Parlimen Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil Termudi, 58, membuat laporan kepada SPRM setelah dua surat tular di media sosial baru-baru ini.
Surat pertama didakwa dihantar oleh Evermark Realty Sdn Bhd kepada Annuar pada 10 Ogos 2020, yang dikatakan bagi memohon mendapatkan dua plot tanah di Jalan Peel, Kuala Lumpur untuk pembangunan bercampur.
Manakala surat kedua ditulis oleh Annuar pada 15 September 2021, yang mengatakan dia menarik balik sokongan kepada pemaju berkenaan dalam permohonan mendapatkan tanah seluas 2.9 ekar berkenaan.
Salinan surat ini telah dihantar kepada pemaju.
Annuar kini merupakan menteri komunikasi dan multimedia.
Malaysiakini telah menghubungi Annuar, SPRM dan pemaju berkenaan untuk mendapatkan komen.
Dakwa salahguna kuasa
Dalam laporannya, Hayatul mendakwa Annuar selaku menteri wilayah persekutuan pada masa itu telah menyalahgunakan kuasanya memandangkan salah seorang anak saudaranya adalah pengarah syarikat itu.
Dia juga mempersoalkan kemampuan kewangan syarikat berkenaan dalam membangunkan tanah berkenaan.
"EMRSB didakwa hanya mempunyai modal berbayar RM100 sahaja tetapi di sokong untuk membuat Pembangunan diatas tanah 2.9 ekar (126,324 kaki persegi)," katanya.
Katanya lagi, nilai tanah itu boleh mencecah RM100 juta sekiranya mengikut harga pasaran iaitu RM800 satu kaki persegi.
"YB Annuar Musa telah mengeluarkan surat bertarikh 15hb Sep 2021 menarik balik sokongan serta memberi tahu nama anak saudara beliau tidak ada dalam EMRSB pada masa permohonan di sokong. Sejauh mana surat YB Annuar Musa tersebut mampu menyekat keputusan exco tanah memberi milikan kepada EMRSB perlu kepada penjelasan lanjut dari kementerian Wilayah Persekutuan.
"Saya meminta supaya SPRM membuka siasatan serta meminta menteri Wilayah Persekutuan yang baru YB Shahidan Kassim membuat kenyataan resmi untuk menyelamatkan tanah tersebut dan menyekat daripada jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Khamis lalu, Shahidan ketika sesi penggulungan bagi pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di Dewan Rakyat mengakui Evermark Realty Sdn Bhd telah disyorkan untuk pertimbangan kelulusan pemberimilikan tanah di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara
“Permohonan pemberimilikan tanah tersebut adalah di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) ke atas tanah Plot A oleh Evermark Realty Sdn Bhd tersebut dipertimbangkan kelulusan dan ia masih belum boleh dianggap sebagai ‘sempurna’ memandangkan pembatalan penrizapan di bawah Seksyen 64 KTN dan Notis Borang 5A belum dikeluarkan,” katanya.
Dia berkata syarikat berkenaan juga telah membuat penambahan modal berbayar sebanyak RM2 juta pada Mei lalu.

