malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH bentang cadangan Belanjawan 2022 kepada k'jaan
Diterbitkan:  Sep 25, 2021 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM
ADS

Pakatan Harapan (PH) membentangkan cadangan Belanjawan 2022 dalam pertemuan pertama daripada empat siri pertemuannya dengan kerajaan.

Perbincangan mengenai belanjawan itu merupakan salah satu syarat digariskan dalam perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara PH dengan kerajaan.

“Dalam mesyuarat itu, kami membincangkan tentang cadangan rangka kerja baru untuk dialog dan rundingan antara kerajaan dan PH bagi Belanjawan 2022 dan akta-kata lain berkaitan kewangan.

“Ia telah dipersetujui bahawa jawatankuasa utama akan bertemu dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pasukannya untuk tiga lagi pertemuan, sementara jawatankuasa kerja akan ditubuhkan bagi membincangkan perincian lebih halus berhubung pendekatan yang dicadangkan,” kata jawatakuasa ekonomi PH dalam satu kenyataan.

Pertemuan pertama itu berlangsung pada Selasa lalu.

Pasukan PH seramai sembilan orang diketuai bekas menteri kewangan Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP.

Ahli-ahli lain terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasutin Ismail, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (PKR), Ahli Parlimen Subang Wong Chen (PKR), Pengarah Strategi Amanah; Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah), Adun Pandan Indah Izham Hashim (Amanah); Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP) dan Ahli parlimen Damansara Tony Pua (DAP).

Sementara itu kerajaan diwakili Tengku Zafrul, timbalannya Mohd Shahar Abdullah dan pegawai-pegawai utama daripada Kementerian Kewangan.

“Kami berharap cadangan-cadangan ini akan diberikan pertimbangan penuh memandangkan ia sememangnya selari dengan rangka kerja ‘pemulihan, daya tahan dan pembaharuan’ cadangan menteri dalam Belanjawan 2022,” katanya.

Dalam perbincangan itu, PH memperincikan cadangan pakej fiskal bernilai RM45 bilion yang juga sebahagian daripada MOU dengan kerajaan. Ini termasuklah:

  • RM4 bilion untuk sektor kesihatan awam (subsidi kit ujian kendiri Covid-19 dan melaksanakan satu rejim ‘cari, uji, jejak, asingkan, dan sokong’ (FTTIS) yang ketat.
  • RM30 bilion geran untuk sektor ekonomi.
  • RM6 bilion dalam insentif penggajian kerja.
  • RM5 bilion bayaran kebajian untuk isi rumah.
  • RM2 bilion pinjaman jangka pendek - sehingga RM50,000 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
  • Tambah baik sumbangan i-suri dan i-saraan.
  • Peluasan skim insurans MySalam buat M40.
  • Subsidi penjagaan kanak-kanak untuk yang hilang pekerjaan.
  • Pelaburan, geran dan subsidi dalam ekonomi hijau dan digital.
  • Membantu firma tempatan berjaya untuk tembusi peringkat rantau atau global.
  • Menyediakan insentif lebih besar bagi menarik firma global.
  • Lebih banyak pelaburan buat fasiliti penjagaan kesihatan Sabah dan Sarawak.
  • Meningkatkan geran khas buat Malaysia Timur.
  • Memastikan Malaysia Timur menerima sekurang-kurangnya 30 peratus daripada belanjawan pembangunan.
  • Pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
  • Keperluan belanjawan yang bersifat peka-jantina.

Jawatankuasa ekonomi PH terdiri daripada Pua, Dzulkefly, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dari PKR; Ammar Atan dan Syeikh Khuzaifah dari Amanah; serta Raja Iskandar Fareez dan E Hun Tan dari DAP.

Lihat Komen