malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS tak mahu berkompromi isu judi
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 9:17 AM
Dikemaskini: 4:04 AM
ADS

Pemuda PAS menegaskan pendirian mereka terhadap kegiatan judi adalah kekal - tiada kompromi.

Ketuanya Khairil Nizam Khiruddin berkata sebelum ini bantahan sama pernah disuarakan kepada kerajaan pada 2 Jan lalu.

"Inilah pendirian kita sejak dahulu hingga sekarang, tidak ada sebarang kompromi dalam isu judi," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kerajaan kini mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kewanan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, pada 20 Sept lalu.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kekerapan cabutan khas itu diturunkan kepada 11 kali pada 2019 dan lapan kali saja pada 2020.

Bagaimanapun kekerapan itu dikembalikan kepada 22 kali selepas Perikatan Nasional (PN) - yang turut dianggotai PAS - menjadi kerajaan pada akhir Feb tahun lalu.

Kata Khairil Nizam Pemuda PAS berpendapat cabutan khas judi itu bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana aktiviti perjudian adalah haram di sisi Islam selain menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

"Masih ada jalan lain yang boleh digunakan tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini," katanya.

Khairil Nizam yang juga ketua Pemuda PN menambah mereka sekali lagi memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul bagi membincangkan isu berkenaan.

Untuk rekod pada awal Jan lalu Pemuda PAS pernah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi menyampaikan pandangan mereka berhubung isu cabutan khas judi tersebut.

Dalam kenyataan sama Khairil Nizam turut mengucapkan terima kasih kepada Mahfuz kerana membangkitkan isu berkenaan di parlimen.

Katanya teguran dibuat itu adalah tepat dan amat diperlukan, apatah lagi ia adalah soal nahi mungkar dan semua umat Islam bertanggungjawab bagi menyuarakan perkara tersebut tanpa mengira parti politik.

"Pemuda PAS menuntut kerajaan supaya lebih bersifat sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial," katanya.

Lihat Komen