malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan mula bayar pembangun aplikasi MySejahtera mulai April
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 9:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM
ADS

Putrajaya telah memutuskan untuk mula membayar pembangun aplikasi mudah alih MySejahtera mulai April dan seterusnya, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas perdana menteri, ini kerana, aplikasi MySejahtera, yang dimulakan sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama satu tahun, berakhir tempoh CSRnya pada 31 Mac.

"Sehingga kini tiada bayaran yang dibuat oleh kerajaan kepada syarikat pembangun sistem dan aplikasi tersebut.

"Namun, selaras dengan kepentingan MySejahtera sebagai aplikasi nasional dalam pengurusan pandemik Covid-19 yang boleh dipertingkatkan, kerajaan telah memutuskan untuk membuat pembayaran bermula daripada 1 April 2021," katanya dalam jawapan parlimen hari ini.

Ismail menambah bahawa kerajaan sedang dalam proses menyelesaikan kaedah pembayaran.

"Sepertimana syarat-syarat di bawah kontrak perolehan kerajaan yang lain, pihak kontraktor perlulah mematuhi Service Level Agreement (SLA) yang ditetapkan dalam memastikan ketersediaan perkhidmatannya," katanya.

"Secara keseluruhannya, mengambil kira faedah yang diperolehi dengan aplikasi ini, pernyataan bahawa aplikasi MySejahtera masih banyak masalah dan perkhidmatannya kurang memuaskan adalah kurang tepat dan mungkin perlu perjelaskan lagi.

"Ini kerana sejak awal pembangunan, aplikasi ini terus ditambah baik secara berterusan," katanya.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) dan Alice Lau (PH-Lanang) yang bertanya mengenai bayaran yang dikenakan untuk aplikasi itu.

MySejahtera adalah aplikasi untuk kerajaan persekutuan mengesan wabak Covid-19, memberitahu dan mengemas kini perkembangan dan status vaksinasi.

Dilaporkan bahawa aplikasi mudah alih itu dibangunkan oleh syarikat tempatan KPISoft Sdn Bhd, yang telah menempah nama di peringkat antarabangsa.

Ia dikembangkan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen