malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Apabila rakyat Kelantan geger demi kepentingan awam
ADS

ULASAN | Seminggu dua ini di Kelantan geger dengan isu fasiliti awam. Orang ramai bercakap mengenai masalah bekalan air yang sepatutnya bersih tapi kotor, jalan rosak dan juga bonggol di jalan raya.

Ia bukan sesuatu yang baru dirasa. Sedikit-sedikit, lama-lama meletus juga selepas kesabaran tiba di titik penamatnya. Namun akhirnya 'letupan' itu menghasilkan kesan positif.

Maka benarkan kata orang, kuasa itu sebenarnya berada di tangan rakyat. Tidak hanya semasa musim pilihan raya, bahkan kuasa rakyat itu sentiasa ada pada bila-bila masa.

Datanglah musim apa pun, rakyat ada kuasa untuk menuntut hak dan kebaikan dalam kehidupan mereka.

Misalnya minggu lepas, kuasa tular di media sosial berjaya menggerakkan pihak berwajib menangani masalah air di kawasan rumah seorang selebriti terkenal.

Apabila rakyat - terutama jika dia orang yang terkenal - bersuara, maka pihak berwajib nampaknya bergegas menyelesaikan isu yang diangkat.

Barangkali tidak perlu ke kaunter aduan pun, atau tidak perlu berjumpa pegawai itu dan pegawai ini.

Bonggol di jalan utama

Berselerak di media sosial dan media arus perdana serta portal berita melaporkan masalah yang dihadapi selebriti berkenaan. Ia menggambarkan betapa kuasa tular menjadi pembuka jalan kepada penyelesaian tuntas sesuatu masalah.

Kemudian, beberapa hari lalu turut geger di Kota Bharu-Bandar Raya Islam mengenai sebuah bonggol yang dibina di jalan utama sehingga dikatakan menjadi punca kepada kemalangan maut.

Maka riuh-rendahlah rakyat di media sosial mempersoalkan kewajaran tindakan pihak berwajib membina bonggol tersebut. Apakah mengikut piawaian yang ditetapkan? Adakah binaan itu tidak terlalu tinggi ketika usaha baik untuk mengelak mudarat lain dibuat?

Namun, mudarat yang lain pula menimpa.

Susulan geger riuh rakyat itu, akhirnya pihak berkuasa mengambil tindakan mengubah suai bonggol tersebut. Inilah hasil daripada suara rakyat demi memperbaiki keadaan dan kepentingan umum.

Begitu juga beberapa hari lalu apabila tular mengenai sebatang jalan yang rosak. Ia adalah jalan yang terletak tidak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan negeri dan berhampiran dengan rumah rasmi menteri besar.

Akhirnya, jalan itu diperbaiki oleh pihak bertanggungjawab dengan kadar segera. Sedangkan sebelum tular, jalan tersebut sudah entah berapa lama berapa dalam keadaan kurang baik.

Justeru, berdasarkan pemerhatian penulis, jika trend aduan (atau boleh disebut sebagai kritikan) rakyat terhadap pihak pemerintah melalui kuasa tular ini berterusan, barangkali kaedah ini boleh diteruskan dengan lebih efisien.

Ia penting bagi menyampaikan maklumat secara langsung, malah mendapat respon segera daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab tanpa melalui karenah birokrasi.

Namun, bukanlah bermaksud kita boleh meninggal kaedah konvensional yang menjadi amalan atau prosedur selama ini.

Apa yang penting ialah hak bersuara itu digunakan dengan cara yang betul. Kesedaran rakyat untuk bersuara menuntut perkara-perkara yang perlu dan keberkesanannya perlu ditingkatkan.

Jalan di ceruk kampung diturap

Sebagai sebuah negeri yang kini turut bersekutu dengan kerajaan persekutuan, pastinya isu-isu politik yang ditimbul di sebalik rungutan rakyat dapat diketepikan.

Selain dua perkara yang dinyatakan tadi, barangkali banyak lagi manfaat yang boleh diambil kesempatan oleh sekalian rakyat untuk sama-sama cakna dan bersuara memperjuangkan masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Maklum sajalah, wakil-wakil rakyat kita pastinya sibuk dengan pelbagai urusan lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 belum reda.

Rakyat sendiri harus sedar betapa setiap permasalahan awam itu ada saluran-saluran yang boleh digunakan untuk mencari jalan penyelesaian.

Sejak Kelantan bersama kerajaan pusat, penulis dapati banyak gerak kerja membabitkan fasiliti awam kepada penduduk-penduduk kampung di Kelantan dilakukan.

Banyak jalan raya di ceruk-ceruk kampung diturap dan ditampal.

Ia membuktika jika semua pihak ambil tahu dan memainkan peranan, sama ada di peringkat kerajaan negeri, persekutuan atau pihak berkuasa tempatan, kemudahan-kemudahan umum dapat disiapkan untuk rakyat dengan lebih baik.

Dan kuasa tular tidak akan berakhir di media sosial. Ia menjadi kuasa rantaian dari mulut ke mulut, meja ke meja dan paling penting dari hati ke hati. Wallahu a'lam.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen