malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas Ketua Polis Negara (IGP) Mohammed Hanif Omar hari ini memohon maaf di mahkamah terbuka untuk menyelesaikan saman fitnah terhadapnya oleh veteran DAP Lim Kit Siang.

Akhbar Sinar Harian juga bersetuju untuk menerbitkan permohonan maaf bertulis kepada Lim berhubung penyiaran kenyataan Hanif dalam dua artikel yang diterbitkan pada September 2018.

Lim mengemukakan tuntutan saman fitnah pada 19 Oktober 2018, ke atas Hanif berhubung kenyataannya yang mengaitkan penahanan Lim dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Sinar kemudiannya dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman Lim berhubung dengan artikel ‘Tun Hanif buat pendedahan DAP, PAS’ dan ‘Hanif Omar tak nyanyuk’, masing-masing diterbitkan pada 6 dan 11 September 2018.

Peguam Lim, Sangeet Kaur Deo mengesahkan bahawa perintah persetujuan untuk menyelesaikan saman itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Quay Chew Soon pagi ini.

Menurut salinan draf perintah persetujuan yang dibekalkan untuk media hari ini, Hanif memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Lim, di Konvensyen Keramah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September 2018.

“Saya dengan ini merakamkan permohonan maaf tanpa syarat berkenaan kenyataan yang telah saya buat membabitkan plaintif di konvensyen itu. Saya menarik balik kenyataan saya secara keseluruhannya dan tanpa syarat.

“Saya mengesahkan bahawa penahanan plaintif pada tahun 1969 bukan atas sebab bahawa beliau telah meminta Malaysia dibahagikan atas dasar perkauman dan seterusnya saya juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan sedemikian,” kata Hanif dalam permohonan maaf itu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan kes saman fitnah Lim Kit Siang terhadap Tun Mohammed Hanif Omar dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd selesai selepas bekas Ketua Polis Negara dan syarikat berkenaan memohon maaf kepada pemimpin veteran DAP itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lim selaku plaintif berkata kedua-dua defendan (Mohammed Hanif dan Sinar Karangkraf) membacakan kenyataan permohonan maaf pada prosiding kes itu yang berlangsung secara dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

Mahkamah kemudian merekodkan penghakiman persetujuan kes tersebut, kata peguam itu ketika dihubungi pemberita.

Peguam Datuk Muralee Menon yang mewakili Mohammed Hanif dan peguam Zuwita Kamaruzaman yang bertindak bagi pihak Sinar Karangkraf, turut serta dalam prosiding itu.

Perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung hari ini hingga 23 Sept secara dalam talian, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.

Berdasarkan draf persetujuan itu, Mohammed Hanif selaku defendan pertama akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap Lim di Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018.

“Saya dengan ini merakamkan permohonan maaf tanpa syarat berkenaan kenyataan yang telah saya buat membabitkan plaintif di konvensyen itu. Saya menarik balik kenyataan saya secara keseluruhannya dan tanpa syarat.

“Saya mengesahkan bahawa penahanan plaintif pada tahun 1969 bukan atas sebab bahawa beliau telah meminta Malaysia dibahagikan atas dasar perkauman dan seterusnya saya juga mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan sedemikian,” menurut Mohammed Hanif dalam draf persetujuan itu.

Menurut draf persetujuan itu, plaintif menerima permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan oleh defendan pertama dan plaintif akan menarik balik kenyataan yang dibuat terhadap defendan pertama seperti terkandung dalam pernyataan bertarikh 7 Sept 2018, yang disiarkan di blog beliau, di laman web Rocketkini dan tweet plaintif bertarikh 7 Sept 2018 serta menarik balik tuntutan saman terhadap defendan pertama tanpa perintah berkenaan kos.

Menerusi draf persetujuan defendan kedua (Sinar), syarikat itu antaranya akan menyiarkan permohonan maaf bertulis secara terbuka kepada plaintif berkenaan penerbitan artikel bertarikh 6 Sept 2018 dan 11 Sept 2018 dan menarik balik dua artikel berkenaan secara serentak.

Permohonan maaf bertulis secara terbuka akan disiarkan di Sinar Harian Online dan akhbar Sinar Harian secara bercetak, selewat-lewatnya pada 25 Sept ini serta dibacakan di mahkamah.

Plaintif akan menarik balik tuntutan terhadap defendan kedua dengan kos berjumlah RM20,000 yang akan dibayar syarikat itu selewat-lewatnya pada 27 Sept ini.

Lim yang memfailkan saman pada 17 Okt 2018, mendakwa Mohammed Hanif mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap di konvensyen itu yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian.

Menerusi pernyataan tuntutan, pemimpin kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa beliau bertanggugjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Plaintif mendakwa defendan kedua (Sinar) telah bertindak dengan niat jahat apabila mencetak, menyiarkan, menerbit dan mengedarkan kata-kata fitnah itu.