malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pahang tarik gelaran Datuk Sanjeevan
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 10:54 AM
Dikemaskini: 11:06 AM
ADS

Kerajaan Negeri Pahang menarik balik dan membatalkan gelaran Datuk yang diberikan kepada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata surat penarikan balik anugerah darjah kebesaran Pahang Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran itu telah dikeluarkan pada 24 Ogos lepas.

Menerusi kenyataan media di Kuantan hari ini, Sallehuddin berkata penarikan semula anugerah darjah kebesaran itu dibuat bagi menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.

"Sehubungan itu, penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang," katanya.

Pada 2019, kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan beberapa pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri, antaranya melibatkan siasatan serta-merta terhadap penerima yang dikaitkan dengan salah laku, ketidakjujuran, kekurangan integriti atau perkara yang mencemarkan nama baik penerima.

- Bernama