malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 40 peratus pesakit ‘Long Covid’ pulih lepas 4 minggu - KJ
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 10:45 AM
Dikemaskini: 10:45 AM
ADS

Kementerian Kesihatan kini memantau dan merawat lebih daripada 12,000 individu yang pernah dijangkiti Covid-19 dan disyaki mengalami gejala 'Long Covid', termasuk program pemulihan khas di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sejumlah 12,654 pesakit Covid-19 telah diberi janji temu untuk rawatan susulan bagi memantau dan merawat gejala tersebut.

Di Hospital Sungai Buloh, program pemulihan komprehensif telah dibentuk sebagai pusat sehenti bagi pesakit Long Covid, yang merangkumi jabatan perubatan, jabatan kesihatan jiwa dan psikiatri, dan jabatan perubatan pemulihan.

Hospital ini juga bekerjasama dengan unit respiratori Hospital Universiti Teknologi Mara dalam usaha ini.

"Dari November 2020 hingga 31 Julai 2021, sebanyak 2,388 pesakit Kategori 4 dan 5 yang dibenarkan pulang dari Hospital Sungai Buloh telah dirujuk ke perkhidmatan khusus ini, yang meliputi rawatan susulan melalui telekonsultasi dan rawatan fizikan.

“Dari jumlah tersebut, 1,545 (64.6 peratus) pernah mengalami Long Covid. Dari segi hasilnya, 41.2 peratus pesakit Long Covid pulih dari gejala mereka empat minggu setelah keluar dari hospital,” kata Khairy dalam jawapan bertulis parlimen hari ini.

Dia menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (PH - Iskandar Puteri) yang meminta perincian mengenai kes Long Covid di negara ini.

Khairy menjelaskan ada dua tahap Long Covid.

Yang pertama adalah ‘Covid-19 gejala berterusan’ di mana pesakit masih mengalami tanda-tanda dan gejala Covid-19 dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas jangkitan mereka.

Yang kedua adalah ‘sindrom pasca Covid-19’ di mana tanda-tanda dan gejala berlangsung lebih12 minggu dan tidak dapat dijelaskan oleh diagnosis alternatif.

Berdasarkan pemantauan susulan terhadap 12,654 kes yang dirawat di hospital setelah dibenarkan pulang, gejala yang paling biasa adalah keletihan (79.2 peratus), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu (52.6 peratus), batuk (17.2 peratus), insomnia (14.6 peratus) dan kegelisahan (10.6 peratus).

i

"Kementerian Kesihatan akan terus memantau dan memberikan rawatan bagi pesakit Long Covid yang mempunyai tanda, berdasarkan protokol pengurusan Pasca Covid-19," tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengatakan bahawa kira-kira dua pertiga daripada kes-kes Covid-19 yang teruk didapati mengalami komplikasi jangka panjang.

Walau bagaimanapun, kes ringan dan tidak bergejala diketahui boleh menyebabkan simptom jangka panjang pada kemudian hari, setelah jangkitan reda.

Satu kajian yang dilakukan di UK mendapati bahawa vaksin Covid-19 dapat mengurangkan separuh daripada kemungkinan gejala Long Covid selepas jangkitan, selain dapat mencegah beberapa jangkitan sepenuhnya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)