malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP gesa persefahaman turut dimeterai di peringkat negeri
ADS

PARLIMEN | Dua ahli parlimen menggesa kerajaan di peringkat negeri turut merangka persefahaman ke arah pembaharuan dengan pembangkang, seperti yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan dengan PH.

Salah seorangnya adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang negeri yang ditadbir PH perlu melaksanakan persefahaman yang serupa, termasuk peruntukan sama rata untuk semua Adun.

"Pembaharuan tak boleh hanya di peringkat persekutuan. Jika kita betul-betul nak bina Malaysia yang adil dan saksama, keputusan sama harus juga dibuat oleh kerajaan negeri di bawah PH.

"Kalau kita tuntut di parlimen, maka di negeri-negeri juga (perlu melakukannya).

"Ini pembaharuan yang berkekalan. Jadi walaupun lima hingga 20 tahun akan datang apabila kerajaan bertukar-tukar, hak dan layanan saksama terhadap semua rakyat tanpa mengira kawasan (akan kekal)," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika mencelah perbahasan titah diraja oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) di Dewan Rakyat hari ini.

Dua hari lalu, PH memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Antara persetujuan yang dicapai adalah pelaksanaan pembaharuan institusi parlimen dan jaminan peruntukan sama rata terhadap ahli parlimen terlibat.

Lim berkata dia setuju dengan pandangan Syed Saddiq dan telah menyuarakannya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow - yang turut bersetuju.

Katanya, untuk negeri lain yang ditadbir PH, ia bergantung kepada pimpinan di negeri tersebut.

Bagaimanapun, dia berkata telah mencadangkan kepada Majlis Presiden PH agar gabungan itu turut membuat tawaran sama.

Selain Pulau Pinang, PH turut mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan, yang kedua-duanya diketuai PKR.

Azis Jamman

Sementara itu, Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) turut mencelah dengan berkata, negeri yang ditadbir BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu turut memeterai persefahaman sama dengan pembangkang.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Lim berkata ia telah pun disuarakan kepada kerajaan persekutuan dan berharap cadangan itu akan dipertimbangkan.

Pada masa ini, kerajaan Perak telah memeterai perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA). yang antara lain turut merangkumi peruntukan sama rata.

Kerajaan Johor pula pada tahun lalu menyifatkan PH sebagai rakan strategiknya dan telah meningkatkan jumlah peruntukan kepada Adun pembangkang.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen