malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairy: Remaja di Lembah Klang akan diberikan vaksin Pfizer
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 10:44 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
ADS

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Lembah Klang akan menerima vaksin Pfizer tidak lama lagi.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) Covid-19 telah meluluskan pemberian vaksinasi Covid-19 bagi golongan berkenaan, bermula di Sarawak.

"Sarawak akan bermula hari ini dengan remaja berumur 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi (tanpa keadaan kesihatan yang kronik)," ciapnya di Twitter pagi ini.

"Labuan dan Lembah Klang akan menyusul tidak lama lagi.

"Kami akan memberikan vaksin Pfizer," katanya. 

Semalam, Khairy mengumumkan kumpulan pertama daripada 76,400 remaja di Sarawak akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini.

Katanya, kumpulan ini terdiri daripada mereka yang berumur 16 dan 17 tahun serta mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun yang mempunyai penyakit berisiko tinggi seperti masalah berkaitan dengan sistem imunisasi.

"Saya baru saja menghubungi ketua menteri Sarawak kumpulan itu akan ditawarkan untuk menjadi penerima vaksin. Dosnya sama seperti orang dewasa.

"Selepas kumpulan ini, vaksin akan diberikan secara berperingkat kepada mereka yang berusia 14 dan 15 tahun, diikuti oleh mereka yang berusia 12 hingga 13 tahun," katanya.

Vaksinasi itu adalah antara dasar yang dipersetujui oleh JKJAV yang sejajar dengan kelulusan yang ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penggunaan vaksin Pfizer bagi golongan remaja.

Khairy berkata bahawa selepas Sarawak, suntikan vaksin akan diberikan kepada remaja di negeri-negeri yang telah mencapai tanda aras 80 peratus vaksinasi dalam kalangan dewasa, seperti Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurutnya, ia merupakan antara usaha dilakukan kerajaan berikutan pembukaan semula sekolah pada Oktober.

Minggu lalu, Khairy berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin mengenai mandat vaksinasi kepada guru.

Bercakap kepada wartawan, dia berkata mereka sedang meneliti sama ada imunisasi Covid-19 perlu diwajibkan untuk guru, dan juga isu undang-undang berkaitan perkara itu.

"Kita harus berbincang dengan Kementerian Pendidikan kerana ada juga implikasi undang-undang.

"Saya harus berbincang dengan menteri pendidikan mengenai mandat mengikut sektor (untuk guru), dan sama ada ia boleh diwajibkan," kata Khairy.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen