malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA gesa k'jaan P Pinang bantah projek lapangan terbang Kulim
Diterbitkan:  Aug 29, 2021 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM
ADS

Kerajaan Pulau Pinang digesa membantah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah kerana ia boleh menjejaskan bekalan air di Pulau Pinang.

Jurucakap MCA Pulau Pinang Tang Heap Seng berkata, kerajaan negeri bersikap tidak ambil kisah terhadap projek itu dan justeru mengecewakan rakyat negeri itu.

Seperti dilaporkan baru-baru ini, laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk KXP menunjukkan ia berkemungkinan mencemarkan Sungai Muda, sumber pengambilan air utama untuk Pulau Pinang, dan justeru membahayakan bekalan air kepada negeri.

"Mengapa kerajaan Pulau Pinang tidak menyuarakan bantahan kepada kerajaan Kedah?" soal Tang.

"Lapangan terbang itu juga mengancam kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang dengan giat menyediakan perkhidmatan kargo kepada kilang di Zon Perindustrian Bayan Lepas.

"Jika Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim disiapkan, saya yakin banyak kilang akan berpindah ke sana, menyebabkan Pulau Pinang hilang daya tarikan pelaburan," katanya.

Dia menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk berdepan dengan kerajaan Kedah secepat mungkin untuk membantah projek itu.

"Ketua Menteri Chow Kon Yeow perlu ambil tindakan segera untuk melindungi penduduk Pulau Pinang," katanya lagi.

Pada Mac lalu, Chow dilaporkan berkata kerajaan Pulau Pinang sedang menimbang untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Pada 2 Ogos lalu, kerajaan Kedah memeterai perjanjian usaha ama dengan ECK Group untuk membina KXP dengan jangkaan siap pada 2026.

Fasa pertama pembinaan akan menelan belanja RM6 bilion termasuk kos pengambilalihan tanah.

Menurut laporan EIA, projek berkeluasan 3,982 hektar itu merangkumi beberapa bahagian, antaranya lapangan terbang, taman perindustrian dan perniagaan, hab logistik dan aeroangkasa, serta pembangunan lain termasuk jalan raya dan tebatan banjir.

Projek itu terletak bersebelahan dengan dua seksyen tebing Sungai Muda, sumber air utama untuk penduduk selatan Kedah dan Pulau Pinang sejak 1974.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum ini memberi peringatan bahawa projek itu berisiko menjejaskan bekalan air negeri.

PBAPP berkata laporan EIA menunjukkan projek itu berisiko mencemarkan Sungai Muda.

Lihat Komen