malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Empangan Nenggiri: JKOAK tolak pampasan k'jaan Kelantan
Diterbitkan:  Aug 28, 2021 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menafikan dakwaan bahawa majoriti Orang Asli yang terlibat dalam projek pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang, Kelantan bersetuju dengan projek tersebut.

Dalam satu kenyataan, JKOAK berkata pampasan yang diberikan oleh kerajaan negeri juga tidak memadai kerana hanya melibatkan tanaman-tanaman yang musnah tanpa mengambil kira pampasan ke atas Tanah Adat yang akan terjejas.

"Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, lebih dari 3000 Orang Asli kekal membantah projek pembinaan ini kerana Komuniti Orang Asli percaya projek ini hanya akan membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.

"Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan(JKOAK) juga menganggap kaedah pembayaran pampasan yang akan diberikan ini adalah tidak setimpal dengan kerosakan dan kesusahan yang akan dialami oleh komuniti Orang Asli.

"Pemberian pampasan yang telah dicadangkan oleh pihak yang terbabit juga adalah tidak selaras dengan keputusan-keputusan mahkamah yang melibatkan isu tanah adat Orang Asli, kerana mekanisma bayaran pampasan hanya melibatkan tanaman-tanaman yang musnah tanpa mengambil kira pampasan ke atas Tanah Adat yang akan terjejas nanti," kata pengerusinya, Mustafa Along.

Mustafa mengulas kenyataan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor yang mengatakan kerajaan Kelantan akan memberikan pampasan, peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas dalam projek berkenaan.

Bagaimanapun Mustafa menegaskan bayaran pampasan bukanlah sebab utama mereka menentang projek tersebut.

Sebaliknya, katanya, masyarakat Orang Asli tidak mahu kawasan wilayah tanah dan hutan yang telah diduduki mereka sekian lama musnah.

Sehubungan itu dia berkata JKOAK akan menghantar satu memorandum bantahan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berhubung isu pembinaan empangan ini berserta tanda tangan lebih 3000 Orang Asli.

"Diharapkan dengan penyerahan memorandum bantahan ini nanti pihak kementerian akan membatalkan projek pembinaan empangan di Sungai Nenggeri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen