malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Agong perkenan terima persembahan senarai ahli kabinet
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 2:44 PM
Dikemaskini: 8:40 AM
ADS

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Perdana Menteri, Ismail Sabri bin Yaakob semasa sesi menghadap Seri Paduka hari ini.

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Istana Negara menyebut sesi menghadap itu berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula jam 11.00 pagi ini.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri Yaakob susulan pelantikan beliau sebagai perdana menteri ke-9 pada 21 Ogos lalu,” kata pihak kenyataan Istana Negara.

Menurut kenyataan itu lagi, sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri.

Sesi menghadap yang pertama berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai perdana menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

“Usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada perdana menteri di Istana Abdulaziz,” kata kenyatan itu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, di Kuantan pada kira-kira jam petang tadi.

Terdahulu, Bernama melaporkan Ismail Sabri dilihat memasuki perkarangan istana pada 10.53 pagi dengan diiringi oleh tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Turut bersama perdana menteri ialah Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail. 

Star Online sebelum ini melaporkan senarai kabinet itu sepatutnya dipersembahkan semalam tetapi ditangguhkan ke hari ini, memandangkan Yang di-Pertuan Agong tidak berada di Kuala Lumpur.

Ia juga melaporkan bahawa Ismail diminta memuktamadkan senarai kabinet sebelum sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos.

Selepas senarai kabinet itu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, majlis angkat sumpah dijangka diadakan secepat mungkin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen