malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Empangan Nenggiri: ‘Ada pampasan, peluang kerja dan perniagaan untuk Orang Asli’
ADS

Kerajaan Kelantan akan memberikan pampasan, peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas dengan projek pembinaan Empangan Nenggiri di Gua Musang, kata Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor.

Menurutnya, kerajaan negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengadakan satu sesi libat urus yang dipengerusikan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan beberapa jabatan-jabatan kerajaan.

"Daripada sesi libat urus dipersetujui beberapa perkara, pertama menyediakan pampasan yang adil berdasarkan impak dihadapi terutama mereka yang terkesan secara langsung dan kampung yang akan tenggelam disebabkan pembinaan empangan ini.

"Kedua memberi pampasan sewajarnya kepada Orang Asli yang mana tanaman mereka tenggelam tetapi kampung mereka tidak tenggelam.

"Yang ketiga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Orang Asli semasa fasa pembinaan projek dan operasi stesen jana elektrik. Semua pihak dirujuk dalam pakej pampasan ini dan ia diangkat kepada kerajaan negeri untuk kelulusan," katanya.

Protes Orang Asli

Azami (PAS-Kadok) berkata demikian ketika menjawab soalan Ab Aziz Yusoff (Umno -Nenggiri) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Azami berkata, pihak TNB sudah menerima surat pemberitahuan daripada kementerian tenaga dan sumber asli bahawa kerajaan persekutuan bersetuju secara dasar projek hidroelektrik itu diteruskan dengan beberapa syarat tambahan.

Syarat itu termasuk mewujudkan syarikat khusus untuk projek tersebut.

Katanya, TNB sedang memproses syarat-sayarat tersebut dan dijangka mengemukakan kepada kementerian dalam tempoh tiga bulan.

"Kerja-kerja projek ini akan dijangka dapat dimulakan pada suku keempat tahun tahun ini," katanya.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dalam jawapan tambah memaklumkan kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian kerjasama dengan TNB pada hari ini.

"Hari ini insya-Allah kerajaan akan buat tandatangan antara kerajaan negeri dan TNB, maka barulah ia (projek) akan bermula," katanya.

Projek hidroelektrik itu sebelum ini turut mendapat bantahan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen