malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Inisiatif sukarelawan PPV berbahasa asing 'kejutkan' migran
ADS

Seorang sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat pujian ramai kerana mengambil inisiatif belajar pelbagai bahasa untuk membantu pekerja asing yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19.

Klip video Ain Syawani, 23, yang bertutur dalam bahasa Bengali dan Urdu semasa membantu pekerja asing itu ditonton lebih 397,500 kali di Twitter, dengan ramai berterima kasih kepadanya kerana inisiatif tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ain berkata dia sebenarnya juga pandai berbahasa Hindi, Nepal dan Burma.

Alasan utama Ain mempelajari bahasa asing itu ialah untuk menjadikan tugasnya lebih lancar.

"Setiap hari, lebih 1,000 orang warga asing datang untuk mendapatkan vaksin. Saya tidak mahu membuang masa, oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa mereka," katanya.

Selain saluran industri, pekerja asing di Lembah Klang juga boleh mendapatkan vaksin secara jumpa terus (walk-in) di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga 22 Ogos dari jam 2 petang dan ke atas.

Pada 2018, terdapat 2.2 juta pekerja asing yang didokumentasikan di Malaysia dan Pertubuhan Migran Antarabangsa menganggarkan ada sekurang-kurangnya dua juta lagi pekerja yang tidak berdokumen.

Jawatankuasa Khas Penyediaan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberi jaminan bahawa bukan warganegara yang tinggal di Malaysia boleh mendapat vaksin secara percuma walaupun mereka tidak memiliki dokumen sah.

Jabatan Imigresen juga memberi jaminan mereka tidak akan menahan pendatang asing tanpa izi di sekitar PPV atau di PPV tersebut.

Ain berkata, dia mempelajari bahasa tersebut dengan bantuan pekerja asing.

"Setiap kali saya melihat ada antara mereka yang boleh bertutur dan memahami bahasa Inggeris dengan baik, saya minta mereka untuk mengajar saya," katanya.

"Dalam bahasa Bengali, ayat yang biasanya saya tanya adalah tu mi ki kaj koro? yang bermaksud 'adakah anda bekerja?', dan tu mi ki asustho? bermaksud 'adakah anda mempunyai penyakit?'" tambahnya.

Inisiatif untuk mudahkan tugas

Ain mendedahkan ada warga asing terkejut ketika mendengar dia bertutur dalam bahasa mereka, malah ada yang bertanyakan kewarganegaraannya.

Dalam ciapan Ain di Twitter baru-baru ini mengenai video klipnya yang bertutur dalam bahasa Nepal, Hindi dan Burma, dapat didengar terdapat individu yang dibantu memujinya kerana fasih berbahasa Urdu.

Sukarelawan lain di PPV pula menjadikan Ain sebagai teladan dengan turut mempelajari bahasa tersebut.

"Mereka meminta saya untuk mengajar agar mereka juga dapat mempraktikkan (bahasa tersebut)!" katanya.

Sejak itu, dia mendengar beberapa orang menggunakan bahasa Bengali apabila berinteraksi dengan penerima vaksin warganegara Bangladesh.

"Saya berasa terinspirasi dan gembira melihat mereka melakukannya," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Ain, sebilangan netizen mempersoalkan keperluan dia belajar bahasa asing, sebaliknya meminta pekerja asing yang sepatutnya mempelajari bahasa Melayu.

"Ini adalah inisiatif sendiri untuk saya mempelajari bahasa-bahasa lain bagi memudahkan tugas saya," kata Ain apabila menjawab soalan-soalan tersebut.

“Kita harus bersikap lebih memahami orang asing supaya mereka berasa diraikan dan gembira, ” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen