malaysiakini logo
story-image
ADS

PAS hari ini menyatakan sokongan sebulat suara bagi menyokong dan mencalonkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sudah bersiap-sedia dengan akuan bersumpah (SD) sejak beberapa lepas

"PAS sebulat suara sokong Datuk Seri Ismail Sabri dan kita dah siap SD beberapa hari lepas," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Umno juga dilaporkan sebulat suara memberi sokongan kepada anggota Parlimen Bera itu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat

Ia selepas seramai 15 anggota Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin sekali gus kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Sebagai rekod PAS merupakan sekutu Umno yang membentuk gabungan Muafakat Nasional selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Sementara itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyatakan sokongan mereka kepada ahli parlimen Bera itu.

“Kita telah bersetuju secara prinsipnya untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tetapi akuan berkanun (SD) kami hanya akan dihantar selepas mesyuarat GPS tengah hari ini,” kata Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang dipetik portal Free Malaysia Today.

Menurutnya, Ismail Sabri adalah veteran dan pemimpin berpengalaman yang disukai ramai serta mempunyai banyak pengalaman dalam menguruskan Covid-19 sejak tahun lalu.

Wan Junaidi adalah anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan komponen utama dalam GPS.

GPS mempunyai 18 ahli parlimen dan menjadi rakan kerjasama utama dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang tumbang pada Isnin lalu apabila Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri.

Lihat Komen