malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
LANGSUNG l Muhyiddin dan semua kabinet letak jawatan
Diterbitkan:  Aug 16, 2021 11:20 AM
Dikemaskini: 8:06 AM
ADS

LANGSUNG l Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masuk ke pejabatnya pagi ini dengan ada yang menganggap ia sebagai tindakan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan hari ini

Dia sedang mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya di Putrajaya dan dijadualkan akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatannya dijangka berlaku tidak lama kemudian. Ikuti Malaysiakini untuk kemas kini secara langsung.


Solidariti PN, BN, GPS akan dikekalkan - Tuan Ibrahim

2.15 petang: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pemimpin parti dalam mesyuarat kabinet hari ini bersetuju solidariti dibentuk antara parti dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikekalkan selepas ini.

"Perjalanan mesyuarat Alhamdulillah, semua tenang dan setiap wakil parti memberi ucapan dan semua setuju kekalkan solidariti bersama.

"Perjuangan masih panjang dan program vaksinasi perlu diteruskan. Kebajikan rakyat dan keadaan semasa rakyat yang susah masih jadi sebahagian ucapan Perdana Menteri tadi," kata kata Tuan Ibrahim, yang dipetik akhbar Berita Harian.


Lagi pemimpin PN ucap selamat tinggal

1.53 petang: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata perletakkan jawatan kabinet atas dasar "tanggungjawab bersama" dan bukannya "kesalahan bersama".

"Pengunduran atas ‘collective responsibility’ bukan ‘collective guilt’.

“ Terimakasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat.#StaySafeAndFocus,” katanya.

 1:45 tengah hari: Menteri Kanan Luar Negeri, Hishammuddin Hussein juga mengucapkan selamat tinggal di laman Twitter.

“Adalah suatu kebanggan dan keistimewaan untuk berkhidmat kepada negara tercinta dan rakyatnya. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.


Peutusan Muhyiddin dijangka jam 3 petang

1.45 tengah hari: Muhyiddin dijangka akan membuat perutusan terakhirnya melalui siaran langsung di televisyen pada jam 3 petang hari ini, kata sumber.

Perutusan itu dikatakan berkaitan dengan keabsahan beliau sebagai perdana menteri dan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Semoga Allah rahmati Malaysia, kata KJ

1.20 tengah hari: Anggota kabinet telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan menteri Umno Khairy Jamaluddin di media sosial sebentar tadi.

“Terima kasih atas peluang untuk, sekali lagi, berkhidmat untuk negara.

Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy.

Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada sebarang makluman daripada Istana Negara atau ketua setiausaha kerajaan.


Muhyiddin pulang rumah

1.08 tengah hari: Muhyiddin kembali ke rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

 


Annuar Musa mohon maaf

1 tengah hari: Muhyiddin tinggalkan istana selepas menghadap Agong kira-kira 40 minit.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melalui catatan di Facebooknya memohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangannya sepanjang berkhidmat.

"Kita kekal tenang dan berlapang dada. Semua keputusan secara bersama. Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara. Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat.

"Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi dari kesilapan. Oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat," katanya yang turut hadir dalam mesyuarat kabinet, hari ini.


'Terima kasih atas khidmat anda' - Wan Fayhsal

12.35 tengah hari: Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuat-naik satu lagi mesej perpisahan di Facebook.

"Kami berdiri teguh dan bangga dengan kamu Tan Sri Presiden. Terima kasih atas jasa dan kepimpinan anda. Kami akan kembali dengan lebih kuat, Insya-Allah," kata Wan Fayhsal, yang juga timbalan menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Muhyiddin.


'Mesyuarat Kabinet terakhir PN selesai'

12:25 tengah hari: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam catatannya di Facebook menyebut mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional selesai pagi ini.

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. YAB Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“ Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” tulisnya. 


PM tiba di Istana Negara

12.23 tengah hari: Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di Istana Negara. Perdana Menteri difahamkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet yang berlangsung kira-kira tiga jam.


Muhyiddin dalam perjalanan ke Istana

12:00 tengah hari: Muhyiddin meninggalkan Pejabat Perdana Menteri di bangunan Putra Perdana di Putrajaya setelah mempengerusikan mesyuarat khas kabinet. Dia dipercayai menuju ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia sempat membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang berada di luar pintu protokol tetapi tidak memberi sebarang ulasan.

Selain Muhyiddin, turut mula meninggalkan bangunan berkenaan adalah menteri-menteri kabinet.


AG, Pengerusi SPR keluar Istana

11.54 pagi: Idrus dan Abdul Ghani meninggalkan istana setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Idrus selesai menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas hampir sejam memasuki Istana Negara.

Kenderaan rasmi yang membawa Abdul Ghani juga sudah meninggalkan Istana Negara melalui pintu satu.

Kedua-dua mereka tidak memberhenti kenderaan atau memberi sebarang ulasan mengenai pertemuan yang berlangsung.

Istana hidang makanan dan minuman untuk media

11.41 pagi: Wartawan dan jurugambar dibekalkan dengan makanan dan minuman di luar pintu pagar Istana Negara.

Mereka telah berkumpul sejak awal pagi ini untuk memberi maklumat terkini mengenai perkembangan politik negara.


11:26 pagi: Kenderaan rasmi membawa Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Lazim dilihat tiba di pekarangan Istana Negara. Dia yang diiringi sepasukan polis tiba dan masuk melalui Pintu 2 Istana Negara.


IGP tiba di Istana

11.17 pagi: Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pula tiba di Istana Negara.

Dia juga pada pagi tadi menghadiri mesyuarat kabinet khas dengan Muhyiddin di Putrajaya. Bagaimanapun, Idrus yang tiba pada 10.47 pagi tadi, belum kelihatan keluar dari Istana Negara.


AG tiba di Istana Negara

10.47 pagi: Peguam Negara Idris Harun dilihat memasuki pintu utama Istana Negara. Dia dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Idris sebelum itu menghadiri mesyuarat di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi.

Malaysiakini juga difahamkan, terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh telahpun tiba di Istana Negara kira-kira jam jam 10 pagi.


Ketua Pesuruhjaya SPRM tiba di Istana Negara

9.55 pagi: Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilihat memasuki Istana Negara.


Media berkampung di luar Istana

9 pagi: Sekitar 30 petugas media dari pelbagai agensi telah mula berkumpul di luar Istana Negara sejak pukul 8 pagi, walaupun majlis menghadap Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan akan hanya berlangsung pada sebelah tengahari.

Anggota polis turut meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk Istana Negara selain meletakkan kon penghadang bagi memastikan petugas media yang membuat liputan menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard.

Muhyiddin tiba di JPM

8.07 pagi: Berita Harian melaporkan Muhyiddin tiba di pejabatnya diikuti tidak lama kemudian oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Mereka akan menghadiri mesyuarat kabinet khas yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri sekitar jam 10 pagi.

Muhyiddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut sebelum berangkat ke Istana Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen