malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Takiyuddin minta semua pihak ketepi perbezaan
Diterbitkan:  Aug 12, 2021 7:22 PM
Dikemaskini: 11:22 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dilihat cuba meredakan keadaan politik tanah air dengan meminta semua pihak mengetepikan perbezaan buat seketika.

Menerusi satu ciapan di Twitter, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS itu berkata apa yang perlu diberi keutamaan kini adalah negara dan rakyat.

"Mari bersatu hati, gabung usaha, kritik dan solusi, ketepi dulu perbezaan, utamakan negara dan semua rakyat jelata," ciapnya.

Ciapan tersebut turut disertakan dengan gambar yang mengandungi kata-kata berbunyi "be an encourager, The world has plenty of critics already" (jadilah pendorong, dunia sudah ada ramai pengkritik).

Ciapan itu di tengah-tengah keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri terus dipertikaikan, di saat wabak Covid-19 terus menular di negara.

Hari ini, terdapat 21,668 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jangkitan keseluruhan setakat ini sebanyak 1,342,215 kes.

Jumlah kematian akibat wabak itu yang dilaporkan hari ini pula sebanyak 318 kes. Setakat ini, seramai 11,691 pesakit Covid-19 telah meninggal dunia di Malaysia.

Walaupun menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan undi percaya ketika sidang Dewan Rakyat yang dijadual 7 September depan, ramai pihak khususnya pembangkang menggesa ia dipercepatkan.

Malah, Istana Negara dilaporkan turut mahu ia diadakan lebih awal. Hari ini pula, Istana Negara didakwa memohon pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan ahli parlimen terhadap Muhyiddin.

Takiyuddin sendiri sebelum ini mengundang "dukacita" Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataannya berkaitan pembatalan ordinan darurat - walaupun ketika itu belum mendapat perkenan Agong - di Dewan Rakyat.

Dalam ciapan hari ini, Takiyuddin turut menolak tanggapan bahawa kerajaan hari ini telah gagal.

"Gagal kerana belum berjaya dalam usaha lebih baik dari berjaya kritik tapi gagal beri solusi," katanya diikuti dengan tanda pagar #kitapastimenang.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen