Bekas perdana menteri, Najib Razak menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membenarkan individu dari luar negara yang lengkap pengambilan vaksin untuk dikuarantin di rumah semasa tiba di Malaysia sebagai "kegilaan".
Najib memberi amaran langkah itu dapat menyebabkan varian Covid-19 yang lebih berbahaya berbanding varian Delta yang kini sedang tular daripada menerobosi sempadan negara.
"Di luar negara, varian Delta Plus dan Lambda yang lagi bahaya berbanding varian Delta sedang menular.
"Sebab itu, keputusan kerajaan membenarkan individu dari luar negara yang pulang ke Malaysia untuk kuarantin di rumah dengan syarat mereka mesti mempunyai rumah di Malaysia adalah kegilaan tahap maksimum.
"Sebab mereka yang sudah divaksin penuh masih boleh dijangkiti dan menjangkiti," katanya.
Kata Najib, ini seperti mengulangi kesilapan bulan Julai tahun lalu apabila kerajaan tiba-tiba menukar syarat kuarantin di pusat kuarantin kepada kuarantin kendiri di rumah, dan sebulan kemudian menukar semula syarat itu "setelah terlambat."
Menurut ahli parlimen Pekan lagi, keadaan tersebut mencetuskan kluster Sivagangga dengan mutasi jenis D614G.
"Kerajaan tak rugi besar untuk arahkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin di pusat-pusat kuarantin atau hotel dipantau kerajaan sebab mereka yang pulang dari luar negara sudah tentu mampu untuk membayar kos kuarantin.
"Sekiranya kerajaan berhasrat untuk bawa masuk varian-varian lambda dan Delta Plus maka sila teruskan kegilaan ini," katanya.
Awal hari ini, Muhyiddin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap diberi vaksin.
Ini termasuk kemudahan perjalanan, makan di restoran serta sukan dan senaman di luar rumah. Peraturan ini lebih santai bagi negeri-negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan fasa seterusnya.
'Langkah pramatang'
Muhyiddin mengakui kelonggaran ini boleh menyebabkan risiko peningkatan kes Covid-19, namun manfaat vaksin juga tidak boleh dikesampingkan.
Varian Delta yang ada sekarang menyebabkan lonjakan kes Covid-19 di negara ini, membanjiri sistem penjagaan kesihatan negara. Varian ini pertama kali dilaporkan di India.
Sementara itu, pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS menyifatkan kelonggaran itu sebagai "pramatang."
"Saya berada dalam Fasa 2 dan saya prihatin dengan kelonggaran peraturan untuk vaksin. Langkah pramatang.
"Delta dapat menjangkiti individu yang vaksin (walaupun terdapat risiko mendapat penyakit serius sepuluh kali lebih rendah) dan mereka boleh menjangkiti orang lain.
"Saya harap kita tidak mengalami wabak yang lebih buruk. Terutama dengan kegiatan rentas sempadan," katanya di Twitter.
Dr Amar yang membantu menyusun Pelan Tindakan Kecemasan Kesihatan, inisiatif masyarakat sivil dalam pembentukan dasar menangani Covid-19 juga mengambil maklum pengumuman kelonggaran itu dibuat ketika kes kematian hari ini mencatatkan rekod tertinggi 360 korban.
"Berapa ramai orang harus mati tanpa perlu," katanya.
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan juga mengkritik kerajaan kerana mengubah cara mengukur tahap keparahan wabak untuk membenarkan kelonggaran SOP Covid-19 itu.
Katanya, kerajaan mengubah petunjuk tahap keparahan wabak daripada jumlah kes harian Covid-19 kepada jumlah kes harian dengan gejala serius.
"Ini merupakan suatu tindakan kebelakang yang akan memudaratkan lagi keadaan apabila tahap berjaga-jaga dan penguatkuasaan di longgarkan tanpa asas yang kukuh," katanya.
"Tidakkah ini memberikan suatu gambaran palsu? Pelonggaran syarat dengan tergesa-gesa tanpa apa jua asas saintifik dari pakar kesihatan akan melipatkaligandakan jangkitan," jelasnya lagi.
Sivarajan berkata ketika pelancaran Pelan Pemulihan Negara, Muhyiddin dengan jelas berkata kriteria tersebut meliputi jumlah kes harian, kemampuan sistem penjagaan kesihatan dan kadar vaksinasi.
Namun, katanya kerajaan kini tunduk kepada kepentingan korporat untuk melonggarkan penutupan.