malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Noraini pula letak jawatan menteri
Diterbitkan:  Aug 6, 2021 5:41 PM
Dikemaskini: 10:40 AM
ADS

Ahli Parlimen Parit Sulung, Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, sekali gus menjadi pemimpin terbaru daripada Umno yang melepaskan jawatan dalam kabinet.

Noraini berkata, tindakan itu diambil selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB perdana menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam kerajaan persekutuan.

"Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita Umno, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Ogos lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media bagi menzahirkan bahawa parti itu tidak lagi menyokong Perikatan Nasional, sekali gus menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahannya sebagai ketua kerajaan.

Noraini merupakan anggota kabinet kedua meletakkan jawatan selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul yang merupakan anggota parlimen Lenggong mengumumkan peletakan jawatannya beberapa minit sebelum Ahmad Zahid mengadakan sidang media.

Langkah itu kemudian disusuli peletakan jawatan Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad pada 4 Ogos.

Sehari selepas itu, Ahli MT Umno, Razlan Muhammad Rafii mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen